Tue. Oct 3rd, 2023

    Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 4 bagi tahun 2023. Turut hadir sama Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-ketua Jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

    Sebanyak lima (5) kertas telah dibentangkan dalam mesyuarat tersebut oleh Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).

    Antara perkara yang telah dibincangkan adalah seperti berikut:

    Strategi Pemasaran Bahan Makanan

    • Sehingga 30 Jun 2023, Program Jualan Agro Madani telah dilaksanakan di seluruh negara yang melibatkan 52 lokasi di Kompleks Kerajaan di seluruh negara. Saya difahamkan ia telah melibatkan seramai 720 orang usahawan tempatan dengan nilai penjimatan kepada pelanggan RM320,000.
    • Saya telah mengarahkan supaya KPDN dan Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berbincang untuk membentuk koordinasi yang lebih baik bagi menambahbaik jualan murah yang lebih komprehensif daripada pihak Kerajaan.

    Analisis Sentimen Media Sosial dan Lapangan Kos Sara Hidup

    • Dalam usaha untuk menyebar luas informasi yang tepat dan sahih, pemantauan isu-isu lapangan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) adalah berdasarkan kepada lima (5) kategori iaitu fasiliti/ utiliti, ekonomi, keselamatan, sosial, telekomunikasi dan politik. Bagi tempoh pemantauan 21 hingga 27 Jun 2023, isu-isu di bawah kategori ekonomi direkodkan sebanyak 10.4 peratus dengan subkategori utama iaitu kenaikan harga barang, kekurangan bekalan dan lainlain
    • Isu di lapangan berkaitan kenaikan harga barang direkodkan sebanyak 68.1 peratus, kekurangan bekalan (23.5 peratus) dan lain-lain (8.4 peratus). Berdasarkan dapatan berkenaan, rakyat mengeluh tentang kenaikan kos sara hidup susulan daripada kenaikan harga barangan asas. Selain itu, kekurangan bekalan minyak masak peket dan gula turut diperkatakan di lapangan.
    • Saya telah bersetuju agar usaha proaktif yang berterusan dalam mengurangkan beban rakyat menerusi third party validator seperti pihak industri dan key opinion leader.
    • Selain itu, Kerajaan perlu memperbanyakkan vox pop atau kapsul rakyat yang mendapat manfaat daripada tindakan Kerajaan Perpaduan.
    • Mengetengahkan penceritaan berbentuk inspirasi atau harapan bagi menggambarkan komitmen dan perancangan Kerajaan dalam memastikan pengurusan kos sara hidup rakyat lebih mampan.
    • KKD akan melihat kaedah lebih tepat dalam menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif Kerajaan bagi liputan yang lebih baik.

    Program Ekonomi Sempadan (Pelaksanaan Projek Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi

    • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan projek rintis Projek Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi) di bawah inisiatif Program Ekonomi Sempadan. Projek dilaksanakan di Perlis iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian.
    • Projek ini dapat mengurangkan ketirisan subsidi Kerajaan. Malahan, terdapat peluang untuk meningkatkan pendapatan negara melalui cukai jualan yang dikenakan ke atas kenderaan asing.
    • KPDN telah melaksanakan lawatan tapak di Kelantan, Perak dan Kedah bagi memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi.

    Status Pelaksanaan Skim Simen RAHMAH

    • Bermula 15 Jun 2023, pemaju boleh membuat permohonan Skim Simen RAHMAH melalui sistem Housing Integrated System Management System (HIMS) di pautan https://hims.kpkt.gov.my untuk pertimbangan. Untuk makluman semua, hanya Permohonan Permit Iklan & Jualan (Advertising Permit, AP) yang diluluskan bermula 1 Mei 2023 dan ke atas sahaja yang layak memohon Skim Simen RAHMAH.
    • Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa Permit Iklan & Jualan (Advertising Permit, AP) yang diluluskan bermula 1 Mei 2023 sehingga 16 Jun 2023 adalah sebanyak 214 projek melibatkan 30,409 unit rumah. Namun, dari jumlah tersebut hanya 24 projek dengan 6,511 unit rumah sahaja yang dikenal pasti layak untuk memohon Skim Simen RAHMAH.
    • Untuk memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan secara meluas, hebahan secara rasmi telah dibuat pada 15 Jun 2023 di platform berikut:
    • Housing Integrated System Management System (HIMS);
    • Portal Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT);
    • Portal Jabatan Perumahan Negara (e-HOME)
    • Portal Sistem Bank Data Perumahan Negara (TEDUH); dan
    • Platform Media Sosial.

    Saya juga telah mencadangkan agar Skim Simen RAHMAH tersebut dipanjangkan ke Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam usaha untuk mengurangkan lagi harga perumahan kepada kumpulan miskin tegar.

    Inisiatif Payung RAHMAH

    Jualan RAHMAH

    – melibatkan 19 pasar raya besar (hypermarket), pasar raya rangkaian (chained store) dan pengeluar.

    – dilaksanakan di 3,557 lokasi di 158 kawasan Parlimen

    – 9,508 SKU (stock keeping unit).

    – pelaksanaan Jualan RAHMAH kini telah diperluaskan kepada Jualan RAHMAH Bergerak mulai 15 Jun 2023.

    – Jualan RAHMAH sempena Aidiladha telah diadakan bermula 16 hingga 28 Jun 2023 bagi semua Dewan Undangan Negeri di seluruh negara dan lokasi-lokasi terpilih bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Pakej RAHMAH

    – sektor terlibat perhotelan, fisioterapi, farmasi dan optik.

    – Pakej RAHMAH terbaharu yang dilancarkan sehingga 30 Jun 2023 adalah Pakej RAHMAH Insurans, Pakej RAHMAH Takaful dan Pakej RAHMAH iTTV e-Learning.

    Bakul RAHMAH

    – 75,842 Bakul RAHMAH telah diedarkan di seluruh negara melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tanpa sebarang peruntukan daripada pihak Kerajaan.

    Perkembangan Inisiatif RAHMAH

    – KPDN merancang untuk melancarkan inisiatif baharu iaitu Kad Insentif Menu RAHMAH yang telah bermula pada 15 Jun 2023 dan dilaksanakan melalui kerjasama beberapa pasaraya utama bagi memberi kemudahan kepada pengusaha untuk mendapatkan barang mentah pada kadar harga yang lebih rendah berbanding harga borong pasaran.

    – Kad diskaun kepada restoran yang menyediakan Menu RAHMAH juga akan dipanjangkan kepada operatoroperator kafe Universiti Awam (UA).

     

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *