2,500 Peminat Terpukau di Konsert SAL PRIADI ZUZUZAZA LIVE IN KUALA LUMPUR

Suasana di Dewan Zepp, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu dipenuhi dengan keajaiban dan kegembiraan yang luar biasa ketika konsert yang dinanti-nantikan oleh peminat, “SAL PRIADI ZUZUZAZA LIVE IN KUALA LUMPUR”, berlangsung dengan meriahnya.

Konsert ini bukan sekadar sebuah pertunjukan muzik, tetapi sebuah perjalanan yang membawa peminat merasai keindahan dan kedalaman emosi melalui setiap lagu yang dipersembahkan. Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Malang, Indonesia, Sal Priadi, sekali lagi membuktikan bahawa beliau memiliki kemampuan untuk menawan hati ribuan peminat dengan persembahan yang penuh penghayatan.

Kehadiran penonton yang mencecah 2,500 orang jelas menunjukkan sambutan yang luar biasa, melebihi jangkaan awal penganjur. Keterujaan dan sokongan yang diterima menjadikan malam itu satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif Kharisma Music, selaku penganjur konsert ini, mengungkapkan rasa terima kasihnya kepada semua yang hadir. “Kami amat berterima kasih kepada semua penonton yang hadir. Tanpa sokongan anda, konsert ini tidak mungkin akan berjaya,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.

Kharisma Music juga merakamkan penghargaan kepada penaja penerbangan, Citilink Indonesia, rakan penaja seperti Intan Gelombang dan Futurace, serta rakan media rasmi, Gempak, dan rakan radio rasmi, ERA, yang telah membantu menjayakan konsert ini. Penghargaan tersebut menunjukkan betapa pentingnya sokongan pelbagai pihak dalam menjayakan acara sebesar ini.

Konsert SAL PRIADI

Konsert dimulakan dengan persembahan pembukaan yang memikat daripada artis tempatan, Sissy Imann, yang mempersembahkan lagu ‘Pesanan Ayahanda’. Suara merdunya menghangatkan suasana dan mempersiapkan penonton untuk kehadiran bintang utama. Tidak lama kemudian, Sal Priadi muncul di pentas dengan tepukan gemuruh daripada penonton yang tidak sabar menanti. Beliau membuka konsert dengan lagu ‘Semua Lagu Cinta’, diikuti dengan ‘Biar Jadi Urusanku’, ‘Dimana Alamatmu Sekarang’, dan ‘Ada Titik-titik Di Ujung Doa’ dari album keduanya, Markers & Such Pens Flashdisks. Setiap lagu yang dinyanyikan menyentuh hati penonton, menimbulkan pelbagai emosi yang mendalam.

Suasana konsert semakin gamat apabila Sal Priadi menyanyikan lagu-lagu popular seperti ‘Mesra-mesraan Kecil-kecilan Dulu’, lagu viral ‘Dari Planet Lain’, dan ‘Amin Paling Serius’. Namun, salah satu lagu yang paling dinantikan sudah tentu adalah ‘Gala Bunga Matahari’, di mana sorakan penuh emosi daripada penonton memenuhi dewan. Beberapa penonton tidak dapat menahan air mata mereka, terkesan dengan bait-bait lirik yang menyentuh jiwa, menjadikan momen tersebut sangat istimewa.

Sal Priadi, yang sinonim dengan karya-karya puitis dan melodi yang memikat, bukan sahaja memukau penonton dengan suara emasnya tetapi juga dengan karakter ‘quirky’ dan bersahaja. Interaksinya yang mesra dengan penonton menciptakan suasana intim yang penuh gelak tawa dan kegembiraan. “Kuala Lumpur sangat istimewa bagi saya. Saya berbesar hati dapat berkongsi muzik saya dengan peminat di sini, dan berterima kasih kepada semua yang hadir. Anda semua hebat, memang ‘Dari Planet Lain’,” kata Sal Priadi penuh keterujaan.

Persembahan yang berlangsung selama lebih dua jam ini membawa penonton melalui lebih 40 buah lagu. Setiap lagu diiringi dengan paparan audio visual yang menarik, direka khas untuk menonjolkan jalan cerita dan ‘mood’ yang ingin disampaikan. Paduan antara muzik dan visual menciptakan pengalaman yang lebih mendalam dan mengasyikkan bagi setiap penonton yang hadir.

Dengan kejayaan cemerlang konsert ini, Kharisma Music dan Sal Priadi bertekad untuk membawa lebih banyak acara muzik berkualiti kepada peminat di Malaysia. En. Ahmad Jeffny menambah, “Tujuan utama kami adalah membawakan sajian hiburan yang berkualiti untuk peminat muzik di Malaysia dan rantau Asia Tenggara dengan rangkaian genre yang pelbagai. Kami percaya bahawa muzik mampu menghubungkan hati dan jiwa, serta mencipta pengalaman yang tidak terlupakan. Oleh itu, nantikan lebih banyak kejutan menarik dan acara yang mengujakan dari Kharisma Music di masa hadapan, kerana kami berkomitmen untuk terus menghadirkan bakat-bakat luar biasa dan persembahan yang memukau” katanya dengan keterujaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *