LATEST

6 Jilake: Filem Aksi Komedi Berjiwa Melayu Bakal Gegar Pawagam 24 April Ini

Bersiap sedia untuk satu lagi karya filem tempatan yang unik dan penuh warna budaya — 6 Jilake, hasil arahan pengarah tersohor Aziz M. Osman, akan menemui penonton bermula 24 April 2025 di seluruh pawagam Malaysia!

Filem ini merupakan kerjasama antara Eartistic Entertainment di bawah penerbitan Dr. Shasa Aziz, dan Primeworks Studios sebagai pengedar rasmi. Dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Saiful Apek, Bell Ngasri, Asmidar, dan ramai lagi, 6 Jilake menggabungkan unsur aksi, sejarah, dan komedi rakyat dalam satu tontonan yang segar dan menghiburkan.

6 Jilake mengangkat kisah sekumpulan samseng yang diupah oleh syarikat Hindia Timur Belanda untuk menguasai lombong bijih timah di Perak pada abad ke-18. Namun mereka tidak menyangka akan berdepan dengan seorang pendekar kampung yang gagah mempertahankan tanahnya. Konflik antara mereka mencetuskan pertempuran yang mendebarkan, tetapi diselitkan dengan elemen jenaka yang dekat di hati rakyat.

Menariknya, setiap ahli kumpulan ‘Jilake’ mempunyai gaya bertarung tersendiri, lengkap dengan senjata tradisional seperti Tekpi, Kayu Selengan Kembar, dan Nanchaku Tahi Besi 1000 Tahun. Tambahan pula, nama watak-watak mereka diinspirasikan daripada kuih-muih tempatan seperti Pulut Panggang, Kole Kacang, dan Badak Berendam, menjadikan naratif lebih dekat dengan jiwa penonton Malaysia.

Dengan gabungan komedi semula jadi, nilai budaya, dan kisah perjuangan rakyat, filem ini dijangka mengembalikan nostalgia filem-filem tempatan yang pernah mencuri hati penonton suatu ketika dahulu.

Jadi, pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan 6 Jilake di pawagam mulai 24 April 2025! Ikuti saluran rasmi Primeworks Studios di semua platform media sosial untuk info lanjut dan kandungan eksklusif.