‘Laila’ Sebagai Pengenalan Diri Dari Kumpulan Dukes

Kumpulan kugiran baharu bernama ‘Dukes’ telah menyertai persada seni muzik negara, membawa muzik berentak rock. Kumpulan ini berasal dari Kuala Lumpur, Malaysia dan ditubuhkan di Universiti Malaya pada penghujung 2022. Mereka pernah melancarkan lagu berjudul ‘Girls’ pada Ogos 2023, dan kini mereka kembali dengan karya baharu berjudul ‘Laila’.

“Laila adalah sebuah lagu fantasi romantis yang meluahkan perasaan suka yang sangat dalam buat seorang gadis bernama Laila. Liriknya menggambarkan perasaan penyanyi yang terpegun dengan kecantikan serta keunikan keperibadian Laila, sambil berkhayal mengimpikan saat bergurau senda bersama dengan rasa penuh kasih sayang. Korus lagu ini menekankan keinginan untuk mengulangi detik-detik manis tersebut, manakala melodinya mencerminkan mimpi penyanyi yang tidak habis-habis memikirkan dan terbayangkan Laila dalam mindanya,” jelas mereka tentang lagu ini.

Kumpulan ini terdiri daripada Ziggy (penyanyi), Rayyan (gitar utama), Jimbo (gitar ‘rhythm’), Umar (pemain bass), dan Cheng Wei (pemain dram). Mereka sangat teruja dengan karya terbaru mereka.

“Kami mempunyai harapan yang tinggi untuk lagu ini. Proses rakamannya berjalan lancar dan sangat cepat kerana kerjasama kami dengan penerbit, Amsyar, begitu mudah. Satu-satunya cabaran yang kami hadapi adalah mencari waktu untuk menyiapkannya kerana masing-masing sibuk dengan tugasan universiti,” tambah mereka lagi.

Semestinya mereka berharap lagu ini akan diterima baik oleh semua pendengar.

“Kami berharap lagu ini akan diterima sebaik sahaja dilancarkan. Yang paling penting, kami ingin semua orang merasai dan memahami maksud lagu serta liriknya. Oleh kerana kami masih muda dan baharu dalam bidang ini, matlamat utama kami adalah untuk dikenali melalui lagu ini,” kata mereka menutup bicara dengan penuh harapan.

‘Laila’ yang bakal dikeluarkan pada 21 Jun 2024, boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *