Saiful Jaicob, atau nama sebenarnya Md Noor Saifullah, seorang penyanyi dan komposer dari Sabah, kini kembali ke industri muzik dengan single terbarunya berjudul “Kali Kedua.” Lagu ini merupakan ciptaan Saiful sendiri, dengan lirik oleh Kent, dan dirakamkan di Patauboys Home Studio, Sabah.
Sebelumnya, Saiful Jaicob telah melancarkan beberapa single pada tahun 2014 dan mulai menjajaki dunia nyanyian setelah mengikuti program anjuran Luncai Emas pada tahun 2017 bersama beberapa komposer tempatan Sabah lainnya.
Pada tahun 2024, Saiful Jaicob merakamkan lagu baru berjudul “Kali Kedua,” yang kemudian dipersetujui untuk diedarkan secara digital oleh Luncai Emas.
Menurut Saiful, lagu ini mengisahkan ketegasan prinsip seorang yang pernah ditinggalkan dan kemudian dirujuk kembali tetapi menolak dengan sepenuh hati. Kisah pahit ditinggalkan telah meninggalkan kesan mendalam sehingga perasaan untuk membina semula cinta yang musnah telah hilang. Walaupun kadangkala terlintas untuk memberi peluang kedua, ia hanya dianggap sebagai khayalan semata-mata demi meneruskan hidup daripada diberi janji yang tidak pasti. Kesengsaraan yang dialami biarlah hanya sekali dan tidak berulang untuk kali kedua.
Selain itu, single “Kali Kedua” telah berjaya menjadi pencalonan baru dalam Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) pada 1 April 2024, dan kini telah memasuki minggu ke-13 serta menduduki tangga ke-2.
“Kent yang hantar lagu ini pergi RTM Sabah, dan masuk dalam pencalonan baru. Akhirnya RTM Sabah hubungi saya selepas lagu ini lulus untuk siaran. Mungkin rezeki saya”. – jelas Saiful Jaicob.
“Saya amat terpegun kerana lagu ini telah menduduki tangga ke-2 dan berharap ianya boleh bertahan hingga ke minggu akhir sekaligus menjuarai dalam Carta Lagu Artis Sabah 2024”. – ujar Saiful Jaicob lagi.
Buat masa kini, Saiful Jaicob akan meriliskan single Kali Kedua di semua saluran digital mulai 5 Julai 2024 dan official audio di Youtube. Para peminat boleh membuat undian juga untuk lagu ini di ruangan Facebook Carta Lagu Artis Sabah.
Semoga lagu ini berjaya memikat pendengar dan berkembang di seluruh Sabah serta Semenanjung Malaysia.