Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) komited menyelesaikan isu jualan saham anggotanya dalam masa enam hingga sembilan bulan, seperti yang diumumkan oleh Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Ke-43 KPF.
KPF menyedari masih terdapat tunggakan bayaran saham bernilai RM200 juta kepada anggotanya. Sejak 10 Julai 2024, KPF telah mula membuat pembayaran sebanyak RM20 juta bagi permohonan yang diutamakan seperti permohonan haji, sakit kritikal, tuntutan kritikal, masalah kewangan, dan khairat kematian. Pembayaran selebihnya akan dibuat secara berkala mengikut sistem penggiliran dan ketersediaan tunai.
Bagi memastikan kelangsungan KPF dan memenuhi keperluan tuna semasa, KPF sedang dan akan melaksanakan pelan penstrukturan semula aset bernilai RM4 billion. Pelan ini merangkumi beberapa inisiatif dan strategi, antaranya:
- Mengenal pasti dan mencairkan aset yang tidak menjana pulangan yang sepatutnya.
- Menjual ladang KPF Samarahan.
- Menstruktur semula pelaburan korporat dalam anak syarikat kumpulan Felda dengan sokongan FELDA.
- Mengenal pasti peranan KPF dan peluang perniagaan dalam Kumpulan FELDA.
- Memastikan kepentingan KPF dalam kitaran ekonomi ekosistem Kumpulan FELDA.
Melalui pelan ini, KPF menjangkakan untuk mencapai beberapa sasaran, termasuk:
- Menyelesaikan isu aliran tunai.
- Mengurus urusniaga syer anggota selari dengan peraturan koperasi.
- Menstruktur semula dan menilai semula struktur keseluruhan ekuiti 10 syarikat Kumpulan FGV dan ekuiti Malaysia Holdings Berhad (MSM) untuk menjana pulangan yang konsisten kepada KPF.
- Meningkatkan sumbangan perniagaan dalam ekosistem FELDA seperti Buah Tandan Segar (BTS) dan Pusat Memungut Sawit (PMS) ke arah bayaran dividen.
- Membangunkan aset pelaburan dan aktiviti perniagaan luar yang mampan, berdaya saing, dan menjana pulangan yang konsisten.
KPF yakin bahawa pelan penstrukturan semula aset ini akan membolehkan koperasi ini kekal relevan dan terus memberi manfaat kepada anggotanya dan peneroka Felda.