Cherry On Top Cipta Fenomena Baru dengan Single ‘Ketagih’ Kolaborasi Bersama Datuk Syafinaz

Sudah sekian lama industri muzik arus perdana tanah air tidak disajikan dengan band multi bakat semuda Cherry On Top. Sejak pelancaran single mereka, Ketagih, kumpulan ini telah menarik perhatian ramai.

Setahun selepas penggabungan dan memperkemaskan penampilan, enam anak muda yang berkongsi minat mendalam terhadap seni ini tidak menduga kejutan besar menanti mereka apabila pesona sehebat Datuk Syafinaz Selamat sedia berkolaborasi bersama mereka.

“Siapalah kami ini berbanding beliau, Datuk Syafinaz Selamat?” kata Kuzan, 22, atau nama sebenarnya Raja Hifzhan Shah Raja Mohd Sham. Kuzan adalah pemain keyboard, programmer, dan vokalis yang mengetuai band ini, yang berasal dari Kuala Lumpur.

Dimasukkan dalam EP sulung mereka bertajuk “Ketagih”, single yang dicipta oleh Kusham dan liriknya oleh Syafinaz Selamat ini menjadi pemangkin semangat buat band ini. Band ini terdiri daripada gitaris Osama, 23; pemain dram Ayen Tommy, 25; penyanyi utama Holy, 23; serta pasangan adik-beradik, Didi, 22, dan Bobo, 18, yang masing-masing bermain gitar dan bass.

Semua anggota band ini masih mengikuti pengajian dalam bidang muzik di Aswara, kecuali Didi yang mengambil jurusan automotif di sebuah kolej tempatan. Bobo, yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia, juga akan meneruskan pengajian asasnya di Aswara.

Diterbitkan oleh Kusham, EP keluaran One Scream Studio ini memuatkan lima lagu, iaitu “Mengintai Rahsia”, “Menunggu”, “Resolusi”, dan “Ketagih (Extended Version)”. Cherry On Top merupakan artis pertama yang diasaskan oleh One Scream Studio, milik Kusham dan Zaira Aziz.

Kesediaan Syafinaz untuk berkolaborasi dengan band ini sangat bermakna, terutama sekali buat Holy atau nama sebenarnya, Adriana Audrey Michael. Holy sendiri merasa terpaksa mencubit lengannya untuk memastikan bahawa dia tidak bermimpi.

“Semasa kecil, saya begitu mengagumi Datuk Syafinaz, terutama apabila beliau menjadi juri dalam pertandingan nyanyian,” kata gadis kelahiran Papar, Sabah, ini. “Saya berangan alangkah seronoknya kalau dapat berjumpa dengan beliau.

“Tapi dapat menyanyi dan merakam lagu bersama? Saya hilang kata-kata. Kepercayaan ini adalah penghormatan terbesar buat band ini, dan kami semua bukannya siapa-siapa pun.”

“Ketagih”, sebagai sebuah album, jelas memperlihatkan keupayaan luar biasa Cherry On Top sebagai pemuzik. Menurut Kuzan, rock menjadi asas kepada personaliti band ini, yang diadun dengan kecenderungan mereka meliputi pop, fusion, dan Rhythm & Blues sebelum menemukan titik persamaan dalam rock progresif.

Band ini juga memberi makna baru kepada bidalan “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”, dengan hampir kesemua ahlinya merupakan penerus legasi keluarga muzik. Kuzan sendiri mewarisi bakat bapanya, Raja Sham, seorang pengarah muzik terkenal yang juga seorang gitaris, komposer, penyusun, dan programmer muzik, selain menjadi Pemuzik Kanan, Orkestra RTM. Ibunya, Zaira Aziz, adalah guru vokal dan sering mengiringi persembahan penyanyi terkenal, selain mahir bermain flute dan menulis lirik lagu.

Osama pula adalah anak kepada penyanyi legenda Dato’ Jamal Abdillah, sementara Ayen diinspirasi bapanya, Black, yang merupakan pemain dram band rock popular, Wings. Studio muzik menjadi sekolah pertama Didi dan Bobo kerana penglibatan bapa mereka dalam industri rock, termasuk menguruskan band seperti DEF-GAB-C.

Holy juga dibesarkan dalam keluarga yang berkecimpung dalam muzik. Kombinasi pelbagai genre dan legasi keluarga ini telah membawa kepada nama Cherry On Top. Band ini asalnya ditubuhkan dengan nama Rock Ages, tetapi nama itu dirasakan kurang komersial. Setelah mempertimbangkan beberapa nama, mereka memilih Cherry On Top, sesuai dengan kehadiran Holy sebagai vokalis dan satu-satunya wanita dalam band ini.

Kuzan yang meminati nyanyian sejak kecil kini membuat pengkhususan pengajian dalam penggubahan. Dia sedar kedudukan orang tua dalam seni tidak bermakna segalanya mudah buat mereka. “Ada baik dan buruknya apabila ada orang tua terkenal ini,” kata Kuzan, dan diakui oleh Ayen, “Sebagai tarikan, ya. Tapi tinggi jugalah jangkaan, adakah anak-anak sehebat orang tuanya. Kami perlu berusaha keras untuk mencapai tahap itu.”

Osama yang juga anak sulung Jamal Abdillah, mengakui bapanya membuka ruang kepadanya dalam seni. “Cuma setakat itulah, selebihnya kata ayah, pandai-pandailah. Ertinya, band ini berdiri bukan sebab aku anak siapa, kau anak siapa. Tapi kerana minat dan perjuangan yang mempertemukan kami, dan ditakdirkan bapa kami adalah somebody,” kata pemilik nama sebenar Yamani Abdillah ini.

Didi menjelaskan mengapa Cherry On Top tidak boleh diperkecilkan, “Kami akan memperdengarkan nafas baharu, dari segi susunan muzik dan melodi. ‘Ketagih’ berbaloi untuk dihasilkan dan didengarkan.”

Bobo, atau nama sebenarnya Muhammad Danish Ashraf, yang memberi sentuhannya dalam banyak rakaman lagu penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ezad Lazim, dan Zamani Slam seawal usia 10 tahun, semua itu menjadi rencah yang mengesahkan Cherry On Top bakal mencetuskan angin perubahan yang luar biasa dalam industri muzik tanah air.

EP Ketagih kini boleh didengari di semua platform digital, selain dalam bentuk fizikal yang terhad dan akan dilancarkan kelak. Cherry On Top boleh diikuti di FB, selain IG menerusi cherryontop_band atau ikuti juga Once Scream Studio di FB dan Tik Tok untuk info.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *