Perkukuh Semua Cawangan untuk Bantu Lebih Ramai Rakyat

Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sinar Harapan Batu Pahat, Klaus Lim (DNS), menyeru semua cawangan badan sukarelawan itu untuk bekerja sama dan memperkukuhkan jaringan mereka di seluruh negara. Menurut beliau, kolaborasi dengan pelbagai pihak adalah penting bagi melaksanakan lebih banyak program kebajikan yang bermatlamat untuk membantu rakyat yang memerlukan.

Klaus Lim, yang juga dikenali sebagai ‘Abang Susu’, yakin bahawa kerjasama ini akan memudahkan pelaksanaan program-program yang dapat memberi manfaat kepada golongan sasaran seperti rumah anak yatim dan rumah penjagaan orang tua. “Kerjasama ini juga membolehkan banyak dana dikumpul dan disalurkan kepada lebih ramai golongan memerlukan,” kata beliau.

Beliau menambah, inisiatif tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban kerajaan, malah menggalakkan semua cawangan untuk bergiat aktif serta bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain. Dengan cara ini, lebih banyak bantuan dapat diberikan berdasarkan keperluan komuniti setempat.

Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sinar Harapan Batu Pahat kini mempunyai cawangan di pelbagai lokasi termasuk Teluk Intan (Perak), Melaka, Muar (Johor), Nilai (Negeri Sembilan), Pulau Pinang, Kelantan, dan Kuantan. Cawangan lain turut beroperasi di Miri dan Kuching (Sarawak), Ipoh (Perak), Klang (Selangor), dan Johor Bharu. Tidak ketinggalan, cawangan di luar negara seperti di Thailand dan Cambodia juga aktif membantu rakyat yang memerlukan.

Dengan pengumpulan dana yang melibatkan semua cawangan, pertubuhan ini mampu menganjurkan pelbagai aktiviti sosial, termasuk membantu kanak-kanak yang menghadapi penyakit jantung, jantung berlubang, dan kanser untuk mendapatkan rawatan di hospital. Program khidmat sosial masyarakat (CSR) yang telah dilaksanakan adalah bukti komitmen pertubuhan ini dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“CSR yang diadakan ini bukan hanya sekadar membantu masyarakat, malah mempunyai misi untuk menghulurkan lebih banyak bantuan kepada komuniti. Pada masa sama, ia juga dapat menyemai dan mewujudkan sikap kasih sayang sekali gus menarik minat masyarakat prihatin untuk turut sama membantu,” kata Klaus Lim.

Dengan misi dan visi yang jelas, Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sinar Harapan Batu Pahat berusaha untuk memperluaskan lagi jaringan bantuan dan memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada program-program kebajikan yang dijalankan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *