Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 (FPM@KL 2024) akan berlangsung selama tiga hari pada 14, 15, dan 16 September 2024 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Festival tahunan ini, yang memasuki edisi kesembilan, dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia.
FPM@KL 2024 bertujuan untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya melalui permainan tradisional sebagai teras, serta menawarkan pelbagai aktiviti lain bagi menarik minat warga kota dan masyarakat.
Acara utama FPM@KL 2024 adalah pertandingan permainan tradisional yang akan disertai oleh 2,378 peserta mewakili badan beruniform, sektor korporat, dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Antara permainan tradisional yang akan dipertandingkan adalah tarik tali, galah panjang, tuju tin, batu seremban, sepak raga ratus, bola sepak kain sarung, kelereng, terompah gergasi, menyumpit, dan memanah tradisional.
Pertandingan ini akan dikendalikan oleh Persatuan Sukan Tradisional Malaysia dengan penyertaan dari 10 pasukan badan beruniform, 11 pasukan sektor korporat, dan lapan IPT.
Kategori badan beruniform menampilkan penyertaan pasukan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (johan keseluruhan 2023), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, serta beberapa agensi kerajaan lain.
Sementara itu, kategori korporat melibatkan pasukan dari syarikat besar seperti Malaysia Airports Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad, dan Tenaga Nasional Berhad. Kategori IPT pula menampilkan universiti seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, dan Universiti Putra Malaysia.
Selain pertandingan utama, acara lain yang turut memeriahkan FPM@KL 2024 termasuklah Permainan Legenda Rakyat, yang akan menampilkan permainan seperti terompah gergasi, kaki hantu, tarik upih pinang, dan lari dalam guni. Tamu@KL pula akan mengadakan pameran dan demonstrasi permainan tradisional dari Sabah, Sarawak, dan Orang Asal, seperti permainan kercang.
Selain itu, turut diadakan kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Kejohanan Tarik Tali Kelab-Kelab Antarabangsa dan MyGasing Championship, dengan penyertaan dari negara Brunei, Singapura, dan Taiwan.
Festival ini juga akan dimeriahkan dengan acara budaya seperti Kejohanan Seni Silat Kreatif Berkumpulan, Pertandingan Kabaddi Terbuka Malaysia, dan persembahan Diabolo Kuala Lumpur. Beberapa aktiviti baru turut diperkenalkan pada tahun ini, termasuk Pertandingan Tarian Singa Interaktif dan Pertandingan Catur Cina.
Bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia, Festival Gendang dan Tari Antarabangsa (GENTA) akan berlangsung pada 14 September 2024, menampilkan persembahan dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Filipina. Sementara itu, acara Kuala Lumpur Cinta Rasul akan diadakan pada 15 September 2024 bagi memperingati Maulidur Rasul.
FPM@KL 2024 juga memperkenalkan Senam Seni 2.0, satu modul senam seni baru yang menggabungkan gerakan kecergasan dan seni budaya, yang diiktiraf oleh Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia (MAFA).
Selain itu, penganjuran festival ini disokong oleh lebih daripada 40 rakan kerjasama dan 23 penaja utama seperti Ajinamoto Malaysia, Redbull, dan Sunway Lagoon. Festival ini juga akan memperkenalkan konsep acara tanpa sampah, yang disokong oleh SWCorp, melalui penganjuran acara hijau atau Green Event.
Bagi memeriahkan lagi FPM@KL 2024, orang ramai dijemput untuk hadir dan menikmati pelbagai aktiviti menarik serta menikmati hidangan dari 30 trak makanan yang akan beroperasi di Jalan Raja sepanjang festival.
Majlis perasmian FPM@KL 2024 akan diadakan pada 15 September 2024, jam 8.30 pagi di Dataran Merdeka dan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, serta YB Dr. Zaliha bt Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN di www.jkkn.gov.my atau Facebook JKKN di www.facebook.com/mysenibudaya.