“Wah, brader! Ini memang layan habis!” Dengan gaya rambut yang mengembang seolah-olah ditiup angin helikopter, jaket kulit yang tebal, seluar ketat, dan buckle tali pinggang sebesar penumbuk yang disertai dengan aksesori besi, serta boots yang kelihatan seperti untuk menunggang kuda, Buck & Awas tampil dengan jiwa rock yang penuh semangat di bawah naungan Alternate Records & Talents.
Bersedia untuk merasai Rock Kapak? Ini bukan sekadar cerita lama, tetapi duo rock ini muncul dengan single terbaru mereka, ‘Naik Hantu’, yang pasti membuat anda semua terangkat dan naik hantu bersama mereka!
Siapa sangka bahawa persembahan spontan mereka semasa acara team building di syarikat akhirnya menarik perhatian pengurusan dan mengangkat mereka ke dunia muzik. Dari bekerja di belakang tabir, kini Buck & Awas melangkah ke hadapan mikrofon dengan penuh keyakinan. Mereka tidak berniat untuk bersaing dengan generasi Z yang baru naik, tetapi bersemangat untuk mengejar impian lama mereka.
“Kami bukan penyanyi profesional, tapi bila kami dengar demo lagu ini, hati kami berdebar! Pelbagai perasaan bercampur kerana ini kali pertama suara kami dirakam secara profesional,” kata Buck & Awas. Selepas beberapa sesi ujian vokal yang santai namun bermakna, mereka akhirnya merekodkan lagu ini di studio. Hasilnya? ‘Naik Hantu’ versi rock yang bertenaga dan penuh semangat!
Buck & Awas mula dikenali melalui konten viral bersama artis-artis terkenal semasa Anugerah Juara Lagu 38. Mereka kemudian muncul sebagai cameo dalam drama aksi ‘Polis Peronda’, yang merupakan pengalaman lakonan pertama mereka. Kini, mereka meneroka bidang nyanyian dengan lagu cover pertama mereka, ‘Naik Hantu’ versi rock, yang juga menjadi runut bunyi filem ‘Pontianak 200kg’, nyanyian Shiha Zikir dan Aya Amiruddin.
Versi ‘Naik Hantu’ oleh Buck & Awas, yang menggabungkan elemen rock dan rap dengan sempurna, adalah hasil kerja pengarah muzik terkenal Iqie Hugh bersama Shazriq Azeman dan Omar K sebagai komposer. Genre rock dipilih kerana sesuai dengan karakter Buck & Awas yang bertenaga dan suara mereka yang unik dalam menyampaikan muzik dengan semangat.
Selepas dua sesi rakaman dan hampir tujuh jam di studio, Buck & Awas menghadapi cabaran besar. “Menyanyi bukan mudah, terutama untuk lagu dengan tempo cepat ini. Kami perlu mengawal pernafasan dan ada tiga high note yang membuat kami rasa macam nak ‘naik hantu’!” gelak mereka, mengenang pengalaman di studio.
“Pengalaman rakaman ini sangat istimewa untuk kami,” tambah mereka. “Iqie Hugh sebagai produser sangat humble dan supportive walaupun kami masih baru dalam industri. Jika ada peluang, kami pasti ingin bekerjasama lagi!”
“Korang semua kena dengar lagu vokal pertama kami! Gabungan rock dan rap ini memang fresh dengan lirik yang catchy. Ia membawa nostalgia rock lama dengan sentuhan moden. Lagu ini santai dan menghiburkan,” kata mereka.
Jika anda suka, kami mungkin akan cuba genre pop rock pula lepas ini!” kata Buck & Awas dengan semangat.
Menurut Iqie Hugh, versi rock ‘Naik Hantu’ dicipta untuk memberi daya tarik baru kepada lagu ini. “Versi rock ini sesuai dengan identiti Buck & Awas yang kelakar dan penuh nostalgia. Mereka memang duo yang sempurna, walaupun nampak pemalu pada awalnya, tetapi bila tampil di depan, memang luar biasa!”
Dengan hanya dua sesi rakaman dan tempoh tiga minggu, Buck & Awas telah menunjukkan bakat dan profesionalisme yang hebat. “Mereka benar-benar bawa vibe unik ke studio. Tak sabar nak tengok reaksi pendengar,” kata Iqie.
‘Naik Hantu’ bukan sekadar lagu rock biasa. Ia mengandungi mesej yang jelas, iaitu jangan bertindak terburu-buru dalam setiap situasi. “Untuk Buck & Awas, teruskan berkarya dan menghiburkan rakyat Malaysia. Langkah pertama mungkin sukar, tapi ia sangat penting,” pesan Iqie.
Untuk lebih hiburan, muzik video rasmi ‘Naik Hantu’ kini boleh ditonton di saluran YouTube Buck & Awas Official. Muzik video ini membawa penonton ke dunia filem seram komedi ‘Pontianak 200kg’, dengan latar malam yang sesuai dengan mood lagu. Rakaman satu malam dengan pencahayaan dramatik, memaparkan elemen rustic dan vintage, serta pontianak yang mengintai menambah lagi elemen seram.
Jangan lepaskan peluang untuk menikmati ‘Naik Hantu’ versi rock oleh Buck & Awas. Lagu ini bukan sekadar muzik, tetapi juga cerita, cabaran, dan keberanian untuk maju ke hadapan!
“Apa lagi yang anda tunggu? Jom dengar ‘Naik Hantu’ sekarang!”
Jangan lupa mendengar lagu cover versi rock ‘Naik Hantu’ oleh Buck & Awas yang kini semakin popular di pelbagai aplikasi dan platform penstriman seperti Spotify dan YouTube Music. Saksikan juga filem komedi seram ‘Pontianak 200kg’ yang akan ditayangkan pada 5 September 2024 di pawagam seluruh Malaysia.
Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, kunjungi laman media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram @alternate.my_, dan TikTok @alternate.rt_. Ikuti juga di Instagram @buck_awas dan TikTok @buck.awas.