Eddie Hamid, komposer prolifik di sebalik kejayaan lagu viral “Cinta Setandan Pisang” (Bey Sobar Bey), kini kembali dengan karya terbaharu berjudul “Curey Depe Mato.”
Lagu ini menampilkan Adik Waniey dan Adam ZBP, dua nama yang semakin meningkat naik di persada muzik tanah air.
Dengan genre Pop Dangdut Moden yang jarang diterokai di Malaysia, lagu ini dijangka bakal mencipta fenomena baru dalam industri muzik tempatan, terutamanya di kalangan peminat muzik Pantai Timur.
Menurut Eddie Hamid, “Curey Depe Mato” dihasilkan dengan sentuhan yang unik dan berbeza daripada kebiasaannya. Lagu ini direka khas untuk menonjolkan vokal Adik Waniey yang serba boleh dan sesuai dengan pelbagai genre.
Eddie memilih Adik Waniey kerana kemampuan luar biasa penyanyi itu dalam membawakan lagu bernada tinggi dan rendah. “Awalnya, Adik Waniey agak terkejut dengan melodi lagu yang sedikit lari daripada kebiasaannya, tetapi ketika rakaman, dia membuktikan dirinya dengan cemerlang,” kata Eddie.
Pendekatan Pop Dangdut Moden ini membawa angin segar kepada muzik dialek Kelantan, dengan melodi yang lebih halus dan lembut.Selain itu, Eddie turut mengulas bahawa “Curey Depe Mato” bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi mempunyai mesej tersirat mengenai kecurangan dalam hubungan.
“Sekarang ini, kecurangan depan mata semakin menjadi-jadi. Lagu ini adalah cerminan daripada realiti sosial kita di mana ramai orang tidak lagi menyembunyikan perbuatan mereka,” jelas Eddie.
Lirik lagu ini ditulis oleh trio lirik berpengalaman Mama Anna, Te Ha, dan Jaju, yang berjaya mengekspresikan mesej tersebut dengan gaya yang dekat dengan masyarakat Pantai Timur, terutama dalam dialek Kelantan yang menjadi tarikan utama lagu ini.
Dalam usaha memperkenalkan bakat baru, Eddie turut menampilkan Adam ZBP dalam “Curey Depe Mato.” Menurut Eddie, Adam ZBP dipilih untuk memberi pendedahan kepada penyanyi tersebut sebelum pelancaran single solonya.
“Adam ZBP adalah pelapis baharu yang semakin mendapat tempat di Kelantan. Saya percaya, melalui lagu ini, dia boleh membina asas untuk kerjayanya sebagai artis solo,” kata Eddie. Lagu ini telah pun mula dimainkan di beberapa stesen radio, menunjukkan potensi besar untuk terus menambat hati pendengar.
Adik Waniey, yang pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan Dangdut Academy Asia 3 pada tahun 2017, melihat lagu ini sebagai cabaran baharu dalam perjalanan kariernya.
Walaupun genre Pop Dangdut Moden ini bukanlah kebiasaannya, dia menerima tugasan ini dengan terbuka. “Sebagai penyanyi, kita perlu fleksibel dalam membawakan pelbagai genre muzik. Ini adalah satu peluang untuk saya berkembang dan membuktikan kebolehan saya dalam genre yang jarang saya terokai sebelum ini,” jelasnya.
Lagu “Curey Depe Mato” kini boleh distrim di semua platform muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan banyak lagi. Video muzik rasmi juga telah dilancarkan di saluran YouTube Kijang Music, dan terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat.
Dengan kolaborasi unik ini, Eddie Hamid sekali lagi membuktikan kehebatannya sebagai komposer yang mampu mencipta karya yang dekat di hati pendengar, sambil mengetengahkan bakat-bakat baru seperti Adik Waniey dan Adam ZBP.
Lagu ini dijangka terus mendaki carta dan mencipta fenomena tersendiri dalam industri muzik tanah air.