Konsert Istimewa Maliq & D’Essentials Di Kuala Lumpur: ‘CAN MACHINES FALL IN LOVE? ALBUM TOUR’ – 2024

MALIQ

Syarikat penganjur konsert terkemuka tanah air, Kharisma Music, bakal menyajikan pengalaman muzik yang tidak terlupakan dengan kehadiran band jazz dan soul terkenal Indonesia, MALIQ & D’Essentials. Konsert istimewa yang bertajuk ‘CAN MACHINES FALL IN LOVE? ALBUM TOUR’ akan diadakan pada 29 Disember 2024 di Megastar Arena, Kuala Lumpur, bermula pada jam 8:00 malam.

En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, memaklumkan bahawa, “Kharisma Music telah terbang ke Jakarta bagi mendapatkan hak eksklusif untuk mengadakan konsert MALIQ & D’Essentials di Kuala Lumpur buat peminatnya di Malaysia.”

Band yang ditubuhkan pada 15 Mei 2002 ini akan mengadakan konsert besar-besaran pertama mereka di dua negara, Indonesia dan Malaysia, sebagai sebahagian daripada siri jelajah untuk mempromosikan album terbaharu mereka yang berjudul ‘Can Machines Fall In Love?’ (CMFIL?), yang dilancarkan pada bulan Mei lalu. Ini adalah album ke-9 mereka setelah 22 tahun dalam industri muzik. Anggota band termasuk Angga Puradiredja, Indah Wisnuwardhana, Widi Puradiredja, Jawa, Lale, dan Ilman Ibrahim, sangat teruja untuk mempersembahkan konsert ini di beberapa provinsi di Indonesia, dengan Kuala Lumpur menjadi lokasi terakhir dalam siri jelajah mereka.

“Ini adalah siri jelajah pertama kami setelah lebih dari 20 tahun berkarya. Peminat di Malaysia boleh menjangkakan persembahan selama lebih dari 2 jam, dengan lebih daripada 20 buah lagu, termasuk gubahan muzik istimewa, serta kemasan audio visual dan penataan cahaya yang menarik,” kata Widi, pemain dram MALIQ & D’Essentials.

Walaupun lagu-lagu dari album CMFIL? akan menjadi fokus utama, MALIQ & D’Essentials juga akan menyertakan lagu-lagu dari album-album sebelumnya untuk memastikan konsert berjalan lancar dan menarik bagi semua penonton, tidak kira mereka menghafal lagu baharu atau tidak.

Konsert ini tidak hanya akan menampilkan lagu-lagu viral seperti ‘Kita Bikin Romantis’, ‘Aduh’, atau ‘Begini Begitu’, tetapi juga memberi peluang kepada MALIQ & D’Essentials untuk berinteraksi secara langsung dengan peminat mereka, meraikan pencapaian muzik mereka selama dua dekad.

En. Ahmad Jeffny berharap penonton akan menikmati persembahan yang dinanti-nantikan ini. “Semoga pembeli tiket dapat merasai malam penuh romantis dengan alunan lagu-lagu mereka yang membuai perasaan serta mengembalikan nostalgia masa lalu.”

Tiket-tiket untuk konsert ‘CAN MACHINES FALL IN LOVE? ALBUM TOUR’ sudah mula dijual sejak 3 September 2024 di laman web www.ticket2u.com/maliq&d’essentials, dengan beberapa kategori tiket yang ditawarkan:

– Begini [Standing] – RM288
– Begitu [Standing] – RM188
– Kita Bikin Romantis [Seated] – RM338
– Aduh [Seated] – RM258
– Meet & Greet [Add-On] – RM298

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *