Pementasan Teater Kompilasi ‘Kerana Percayakan Siti’ dari Storyteller Production di DPAC – 2024

teater

Storyteller Production, sebuah rumah produksi tempatan yang terkenal dengan inovasi dan kreativiti dalam menghasilkan kandungan digital dan TV, akan mempersembahkan pementasan teater kompilasi yang menarik berjudul “Kerana Percayakan Siti”. Pementasan ini dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober 2024 di Blackbox Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya.

Pementasan ini menampilkan barisan pelakon yang hebat, terdiri daripada Nadia Brian, D’Boy Hamdan, Farah Ahmad, Shariah Sofia, Firdaus Karim, Swarna Naidu, dan Anwar Rusdini. Kesemua pelakon ini terkenal dengan kejayaan mereka di pentas teater sebelum mencipta nama dalam industri seni dan hiburan tempatan. “Kerana Percayakan Siti” memberikan mereka peluang untuk ‘kembali ke pangkuan’ dengan menghidupkan kembali watak-watak yang telah menaikkan nama mereka di dunia teater.

Teater kompilasi ini ditulis dan diarahkan oleh pengarah muda yang berbakat, Afiza Asram. Afiza mula mencuri perhatian melalui filem sulungnya, “Sa-Balik Baju,” yang menduduki carta no 1 di Netflix Malaysia selama empat minggu berturut-turut. Selepas kejayaan itu, beliau telah mengarah beberapa drama popular seperti “Kau vs Aku” dan yang terbaru, “Ke Kodiang With Love” untuk saluran Astro Gempak. Afiza adalah lepasan Akademi Seni dan Warisan (ASWARA) dalam bidang teater dengan pengkhususan dalam lakonan.

“Kerana Percayakan Siti” menggabungkan tiga cerita menarik: “Perempuan Perang”, “Terang Malam”, dan “Sabalik Baju”. “Perempuan Perang,” yang pertama kali dipentaskan pada tahun 2016, pernah mewakili Malaysia dalam “Program Teater 3 Negara” di Pahang pada tahun 2017. Cerita ini mengisahkan tentang Laila, seorang wanita yang menghadapi krisis apabila suaminya, Ibrahim, ditangkap atas kesalahan sodomi. Untuk pementasan kali ini, Shariah Sofia akan memegang peranan Laila, dengan D’Boy Hamdan sebagai Ibrahim dan Firdaus Karim sebagai Mukhtar.

Cerita kedua, “Terang Malam,” akan menampilkan Nadia Brian dan Anwar Rusdini dalam watak utama mereka. Manakala “Sabalik Baju,” yang turut memberikan impak mendalam dalam karya Afiza, akan dipentaskan oleh Farah Ahmad dan Swarna Naidu.

Penerbit Eksekutif Storyteller Production, Azuwan Ahmad, mengungkapkan rasa bangga dan teruja mereka dengan kehadiran pelakon-pelakon berpengalaman ini. Beliau percaya bahawa pemilihan pelakon yang tepat untuk setiap cerita akan membawa pementasan ini ke tahap yang lebih tinggi. Azuwan juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia atas sokongan melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024, yang turut membantu merealisasikan pementasan ini.

Tiket-tiket untuk pementasan “Kerana Percayakan Siti” masih boleh diperolehi melalui laman web www.cloudjoi.com pada harga serendah RM 60 hingga RM 100. Segala pertanyaan boleh diajukan di nombor 011-28536571 (Ahmad) dan segala maklumat terkini boleh dilayari di laman Instagram storyteller_my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *