Ella Gegarkan After Race Fest MotoGP sebagai Penyanyi Lagu Antem Nasional!

Pengumuman terbaru mengenai AFTER RACE FEST sempena MotoGP™️ Malaysia 2024 telah menimbulkan keterujaan dalam kalangan peminat sukan motor dan muzik tanah air.

Acara gilang-gemilang yang bakal berlangsung pada 3 November 2024 di Helipad, PETRONAS Sepang International Circuit ini akan menjadi kemuncak kepada perlumbaan MotoGP™️, dengan barisan artis terkemuka antarabangsa dan tempatan memeriahkan pentas.

Sempena ulang tahun ke-25 PETRONAS Sepang International Circuit (SIC), AFTER RACE FEST dijangka menjadi pesta yang penuh dengan tenaga dan hiburan, bermula dari jam 4 petang hingga tengah malam.

Menguatkan lagi keterujaan acara ini, Ratu Rock Malaysia, Ella, diumumkan sebagai penyanyi lagu kebangsaan “Negaraku” untuk acara MotoGP™️. Sebagai simbol penghormatan, Ella akan menyemarakkan suasana dengan vokalnya yang bertenaga, sekaligus memeriahkan acara besar ini. Tidak hanya terhenti di situ, Ella juga akan membuat persembahan eksklusif di pentas AFTER RACE FEST, berkongsi pentas dengan artis antarabangsa seperti Smash Mouth dan Macklemore.

Ella yang sudah lama mencipta nama dalam industri hiburan Malaysia mengungkapkan rasa terujanya, “Ia satu penghormatan besar untuk menyanyikan ‘Negaraku’ di acara berprestij ini. Saya sangat teruja untuk menyertai AFTER RACE FEST dan tidak sabar untuk beraksi di samping penghibur antarabangsa lain serta berinteraksi dengan peminat yang datang dari serata dunia.”

Dalam pengumuman yang dibuat pada Julai lalu, pihak penganjur HIFIVE Entertainment memperkenalkan Smash Mouth dan Macklemore sebagai penampilan utama. Smash Mouth, band rock yang terkenal dengan hits seperti “All Star” dan “I’m a Believer,” pasti akan menggamatkan suasana, manakala Macklemore, bintang rap antarabangsa, akan menjadi ‘headliner’ yang dijangka menarik ribuan penonton.

ella after race fest

Peminat Macklemore pasti teruja melihat persembahannya selepas kemunculan single terbaru “HIND’S HALL 2,” hasil kolaborasinya bersama rapper Palestin MC Abdul, penulis lirik Amerika-Palestin Amer Zahr, dan penyanyi Amerika Anees Mokhiber. Lagu ini membawa mesej solidariti dan kebebasan, yang seiring dengan tema AFTER RACE FEST.

Selain Ella, Nidji dan Feel Koplo dari Indonesia, serta artis Malaysia seperti 6ixth Sense dan DE FAM, akan memeriahkan acara dengan persembahan mereka. Pengunjung boleh menjangkakan persembahan bertenaga sepanjang hari dalam pelbagai segmen seperti:

Segment Get Started: Persembahan oleh Feel Koplo & DE FAM
Segment Healing: Persembahan oleh Nidji & 6ixth Sense
Segment Let’s Rock: Smash Mouth
Segment Solidarity: Macklemore sebagai kemuncak malam

Menurut Sean Pereira, Pengarah Urusan HIFIVE Entertainment, “MotoGP™️ tidak akan lengkap tanpa pesta perayaan seperti AFTER RACE FEST. Kami mahu memberikan pengalaman yang bukan sahaja bersifat hiburan tetapi juga sebagai tanda penghormatan kepada penonton global yang hadir ke Malaysia. Pesta ini akan dipenuhi dengan pertunjukan drone, bunga api, dan aktiviti lain yang menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.”

Dengan suasana yang bakal mencetuskan adrenalin, penonton bukan sahaja dapat menikmati persembahan muzik, tetapi juga aktiviti-aktiviti lain yang meriah. Acara ini disokong oleh PETRONAS Sepang International Circuit yang mahu memberikan perayaan gemilang bersempena ulang tahunnya yang ke-25.

Bagi mereka yang tidak mahu ketinggalan, tiket untuk AFTER RACE FEST dijual pada harga RM550. Pengunjung juga boleh menggunakan promo code PayLater by GRAB untuk pembelian tiket. Pastikan untuk mendapatkan tiket secepat mungkin kerana ia dijangka akan habis dijual dengan cepat!

Dengan barisan penghibur yang hebat dan pelbagai aktiviti yang menarik, AFTER RACE FEST dijangka menjadi acara yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat muzik dan perlumbaan. Pastikan anda berada di Helipad, PETRONAS Sepang International Circuit pada 3 November 2024 untuk menyaksikan gabungan epik muzik dan MotoGP™️ yang penuh bertenaga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *