Kharisma Music, syarikat penganjur konsert terkemuka di Malaysia, dengan penuh bangga mengumumkan satu konsert yang pastinya menjadi sorotan dalam kalendar muzik tempatan iaitu konsert bertajuk “RAISA – TERISTIMEWA DI KUALA LUMPUR”.
Konsert ini dijangka akan diadakan pada 3 November 2024 di Megastar Arena, Kuala Lumpur, bermula pada jam 8:00 malam.
Menurut En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music, pihaknya amat teruja untuk membawa Raisa, salah seorang penyanyi pop tersohor Indonesia, kembali ke Kuala Lumpur untuk persembahan yang benar-benar istimewa. “Kami sangat berbesar hati dengan kehadiran Raisa di Kuala Lumpur untuk konsert ini. Ini memberi peluang keemasan bagi para peminat untuk menyaksikan bakat luar biasa Raisa secara langsung. Konsert ini dijamin akan memberikan pengalaman muzik yang mengagumkan dan meninggalkan kesan mendalam kepada semua yang hadir,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Raisa, penyanyi yang amat dikenali di seluruh rantau Asia Tenggara, turut meluahkan perasaan terujanya untuk kembali ke Kuala Lumpur dengan konsert berskala besar ini. “Konsert ini benar-benar ‘teristimewa’ buat saya dan semua peminat saya di sini. Setiap aspek konsert ini, daripada pemilihan lagu hingga reka bentuk pentas, diuruskan oleh saya sendiri bersama pasukan, memastikan setiap butiran dipersembahkan dengan sempurna. Saya yakin konsert ini akan membawa pengalaman yang jauh berbeza dan lebih mendalam daripada konsert-konsert saya yang sebelum ini di Kuala Lumpur,” ujar Raisa penuh semangat.
Raisa mula mencipta nama melalui single pertamanya ‘Serba Salah’, yang merupakan salah satu lagu dari album sulungnya yang dilancarkan pada tahun 2011. Lagu tersebut telah membuka pintu besar dalam karier muziknya dan sejak itu, Raisa terus melonjak menjadi salah satu nama besar dalam industri muzik Asia. Beliau telah memenangi pelbagai anugerah, termasuk ‘Artis Baru Terbaik’ di Anugerah Musik Indonesia ke-15, dan dengan vokalnya yang mempesonakan, beliau berjaya memikat hati jutaan peminat di Indonesia, Malaysia, dan di seluruh Asia Tenggara.
Konsert ‘RAISA – TERISTIMEWA DI KUALA LUMPUR’ merupakan sebahagian daripada siri jelajah muzik beliau yang sangat dinantikan. Dalam konsert ini, Raisa akan mempersembahkan pelbagai lagu hit yang telah memahat nama beliau di persada muzik, termasuk lagu-lagu popular seperti ‘Kali Kedua’, ‘Jatuh Hati’, ‘Mantan Terindah’, dan banyak lagi. Peminat akan dibawa mengembara melalui perjalanan muziknya selama lebih dari dua jam, diiringi dengan persembahan melebihi 20 buah lagu. Setiap persembahan akan disokong oleh pasukan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia untuk memberikan persembahan audio yang berkualiti tinggi.
Selain itu, pengalaman visual dan audio yang akan disajikan turut diberi penekanan. Reka bentuk pentas konsert ini direka dengan penuh teliti untuk memberi impak yang maksimum kepada penonton. Pihak penganjur menjanjikan kesan visual yang memukau, dengan pencahayaan dan latar belakang yang disesuaikan mengikut setiap persembahan. “Kami mahukan setiap detik dalam konsert ini terasa magikal dan meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir,” kata En. Ahmad Jeffny lagi.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan pengalaman yang lebih eksklusif, tiket VIP dan VVIP tersedia dengan pelbagai faedah istimewa. Pembeli tiket VIP dan VVIP bukan sahaja akan menikmati tempat duduk terbaik, tetapi juga akan berpeluang untuk bertemu secara langsung dengan Raisa dalam sesi ‘meet & greet’. Ini pastinya satu peluang yang amat dinantikan oleh peminat tegar Raisa, yang dapat bertemu dan berinteraksi secara peribadi dengan bintang pujaan mereka.
Pihak Kharisma Music turut mengucapkan terima kasih kepada rakan penaja yang memainkan peranan penting dalam menjayakan konsert ini. Antara penaja utama termasuk syarikat penerbangan Garuda Indonesia, jenama kosmetik Alha Alfa, serta beberapa syarikat tempatan seperti Intan Gelombang dan Futurace. Rakan radio rasmi, ERA dan rakan media rasmi, Gempak.com, juga turut serta dalam mempromosikan konsert ini.
Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert ini, tiket telah mula dijual sejak 9 September 2024 lalu di laman web ticket2u.com.my/raisa. Dengan harga tiket yang berpatutan, bermula dari RM199, sambutan terhadap penjualan tiket amat menggalakkan, di mana hanya tinggal beberapa tiket sahaja yang masih belum terjual. Peminat dinasihatkan untuk segera mendapatkan tiket sebelum kehabisan.