Setelah kejayaan hebat yang dicapai pada tahun lepas, Calpis Soda One In A Million (OIAM) kini kembali dengan lebih semangat dan kejutan baru dalam musim terbaru yang pastinya akan menarik perhatian peminat muzik di seluruh Malaysia.
Sesi uji bakat pertama yang berlangsung pada 2 dan 3 November 2024 lalu di Johor Bahru telah menjadi titik permulaan yang penting bagi pencarian bakat-bakat baru yang mampu menonjol dalam industri muzik tempatan. Namun, ia juga memberi peluang untuk juri seperti Sarah Ismail menegaskan pentingnya persediaan yang rapi bagi peserta yang ingin menonjol dalam pertandingan ini.
Sebagai juri yang berpengalaman dalam industri muzik, Sarah Ismail mengungkapkan kekecewaannya terhadap persediaan kebanyakan peserta pada sesi uji bakat pertama di Johor. Menurut beliau, ramai yang datang tanpa persediaan yang cukup dan tidak memahami dengan mendalam tentang pertandingan ini. “Sambutan hari pertama kurang memuaskan – ramai yang datang tanpa persediaan dan sekadar ingin cuba nasib,” kata Sarah, yang turut menambah bahawa peserta gagal menunjukkan fleksibiliti dalam menyanyikan lagu dengan tempo yang berbeza.
Sarah menegaskan bahawa kemampuan untuk menyesuaikan tempo lagu adalah perkara asas dalam dunia nyanyian, dan ini adalah aspek yang sangat penting dalam pertandingan seperti Calpis Soda One In A Million. “Tempo is standard and the basic of singing,” jelasnya, merujuk kepada pentingnya peserta untuk memahami asas nyanyian yang sebenar. “Kita mencari peserta yang berani mencabar diri dan mampu menampilkan bakat dalam setiap genre lagu yang diberikan,” tambahnya lagi.
Sarah turut menyatakan bahawa peserta yang dicari bukanlah mereka yang sempurna, tetapi mereka yang mempunyai keyakinan diri dan berani mencuba cabaran baru. “Kita bukan nak peserta yang main-main, tetapi mereka yang mahu mencabar diri,” ujarnya dengan penuh semangat. Menurut Sarah, kunci utama dalam pertandingan ini adalah kemampuan peserta untuk membawa pelbagai lagu dengan cara yang kreatif dan tidak hanya terhad kepada satu jenis tempo sahaja. Beliau percaya bahawa bagi mereka yang ingin menjadi juara Calpis Soda One In A Million, mereka perlu menunjukkan kelainan dalam setiap persembahan mereka.
Bagi peserta yang akan mengambil bahagian dalam uji bakat seterusnya di Sabah dan Pulau Pinang pada 9 dan 10 November 2024, Sarah mengingatkan mereka agar membuat persediaan dengan lebih baik. “Untuk orang Sabah, saya tak sabar nak melihat bakat orang-orang Sabah. Saya percaya Sabah mempunyai ramai bakat yang bagus,” ujar Sarah dengan penuh harapan. Beliau turut menambah bahawa beliau yakin bakat-bakat dari Sabah akan memberi saingan sengit di pentas Calpis Soda One In A Million.
Manakala untuk peserta dari Pulau Pinang, Sarah menasihatkan mereka untuk sentiasa bersedia dengan persediaan yang mantap. “Setiap negeri ada ‘tekstur’ berbeza. Untuk orang Penang, dah bersedia ke? Hantarlah wakil yang paling berbakat!” tegasnya. Beliau berharap, para peserta dari kedua-dua negeri tersebut dapat menunjukkan potensi besar mereka dalam dunia muzik.
Program Calpis Soda One In A Million bukan sahaja menjadi platform yang membuka peluang kepada bakat-bakat baru untuk menonjol, tetapi juga merupakan peluang yang luar biasa untuk para penyanyi muda mengasah bakat mereka di pentas yang lebih besar. Program ikonik ini mengalu-alukan penyertaan daripada semua individu yang berusia 15 tahun ke atas dan terbuka kepada penyanyi solo, duo, atau kumpulan dari Malaysia dan negara jiran.
Dengan hadiah utama yang bernilai sehingga RM1 juta, program ini menjadi destinasi utama bagi mereka yang ingin mengubah nasib dan mengejar impian untuk menjadi bintang. Penyanyi yang mempunyai lagu ciptaan sendiri amat digalakkan untuk menyertai uji bakat, selagi mereka tidak terikat dengan kontrak rakaman. Selain itu, uji bakat ini juga terbuka dalam dua format iaitu secara dalam talian dan bersemuka.
Untuk uji bakat dalam talian, peserta boleh memuat naik video nyanyian berdurasi satu minit di TikTok dengan menggunakan tanda pagar #CalpisSodaOIAMTV3 sehingga 17 November 2024. Uji bakat bersemuka seterusnya akan diadakan di dua lokasi utama, iaitu di Aras 5, Sabah International Convention Centre (SICC), Sabah dan Hotel Atrium, Sunshine Central, Pulau Pinang pada hujung minggu ini (9 dan 10 November 2024), bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Peluang ini terbuka luas kepada bakat-bakat muda yang bercita-cita tinggi untuk mempamerkan kebolehan mereka. Siapa tahu, mungkin bakat anda yang bakal menemui kejayaan besar dan membawa pulang hadiah bernilai sejuta ringgit Malaysia! Jangan lepaskan peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Calpis Soda One In A Million.
Jangan lupa untuk menyaksikan perjalanan pencarian bakat ini yang akan disiarkan pada bulan Disember ini di TV3. Ikuti @TV3Malaysia di semua platform sosial untuk maklumat terkini dan rasai keterujaan Calpis Soda One In A Million bersama Calpis Soda, minuman soda budaya kegemaran anda untuk musim ini. Untuk maklumat lanjut tentang program ini, pastikan anda mengikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, Twitter, dan TikTok @TV3MalaysiaOfficial.