Istana Budaya kembali mencuri tumpuan ibu kota Kuala Lumpur dengan penganjuran Lambang Sari Series 4: Celebration & Reflection (LSS 4) yang berlangsung di Auditorium Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 15 dan 16 November 2024. Acara ini memperlihatkan dedikasi Istana Budaya dalam memperkaya landskap seni budaya Malaysia melalui persembahan orkestra klasikal barat bertaraf antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada kempen Gerak, program Lambang Sari Series (LSS) di Istana Budaya ini telah mencipta momentum besar sejak dilancarkan. Sebelumnya, tiga siri yang berjaya telah mengisi ruang seni Malaysia:
- LSS 1: Resilience and Triumph di Dewan Filharmonik Petronas;
- LSS 2: Symphonic Spectacular di Panggung Eksperimen Universiti Malaya;
- LSS 3: Kita Jiwa | Merdeka di JKKN Melaka.
LSS 4 kali ini, dengan tema Celebration & Reflection, meneruskan legasi ini dalam skala yang lebih besar, menampilkan persembahan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dengan gabungan muzik klasik yang memukau serta kolaborasi dengan pemuzik berbakat.
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, YBrs. Puan Zubaidah Mukhtar, acara ini menjadi platform penting bagi anak jati Malaysia untuk menyerlahkan bakat mereka. “LSS 4 memberikan penghormatan kepada pemuzik tempatan yang telah mencipta nama di persada antarabangsa, selain menjadi medan untuk berkongsi pengalaman dan kehebatan seni mereka dengan masyarakat tempatan,” jelas beliau.
Bintang utama persembahan ini adalah Bernice Ooi, violinist ternama yang juga merupakan anak Malaysia pertama di Royal Swedish Orchestra. Beliau membawa kecemerlangan dari pentas dunia ke tanah air, memukau penonton dengan karya klasik yang penuh emosi.
Program selama 1 jam 30 minit ini menyajikan tiga karya agung dari komposer terkenal:
- Dmitri Shostakovich: Festive Overture
- Felix Mendelssohn-Bartholdy: Violin Concerto in E Minor, Op. 64
- Johannes Brahms: Symphony No. 1 in C minor, Op. 68
Di bawah pimpinan Konduktor Encik Nasran Nawi, seramai 85 pemuzik OSK melengkapkan pengalaman ini dengan pelbagai alat muzik klasikal termasuk Clarinet, Bassoon, dan English Horn.
Selain muzik, LSS 4 membawa impak berbeza dengan sokongan tajaan dari JS Music dan Ket Wei Gallery, yang menyediakan alat muzik khas seperti English Horn dan Violin. Persembahan ini adalah lambang perayaan seni muzik klasikal yang mengundang penonton untuk merenung perjalanan seni yang kekal relevan dan berdaya maju.
Acara yang diadakan pada 15 November 2024 adalah khas untuk jemputan, manakala pada 16 November 2024, persembahan dibuka kepada umum. Tiket dijual pada harga RAHMAH RM30 secara flat-rate, boleh didapati di pautan rasmi: https://tiket.istanabudaya.gov.my/.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan keajaiban seni muzik klasikal yang tidak hanya menghiburkan, tetapi juga memberi inspirasi mendalam kepada jiwa.