Konsert Sumandak Stars Cipta Fenomena di Zepp Kuala Lumpur!

Konsert A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku yang dianjurkan oleh syarikat penganjur terkemuka, Orange International Entertainment, mencipta sejarah baharu apabila sembilan penyanyi wanita dari Sabah, iaitu Marsha Milan, Azharina, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Bella Astillah, Salma, Ayu Damit, Didi Astillah, dan Wani Kayrie, berjaya memukau ribuan penonton di Zepp, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Dato’ Mohd Fadzli Idrus, meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan konsert tersebut. “Malam ini adalah bukti betapa hebatnya bakat dari Sabah yang telah mencipta nama di industri muzik tanah air. Sambutan hangat daripada penonton adalah penghargaan terbesar untuk semua artis yang terlibat,” ujarnya.

Kesemua sembilan artis tersebut berkumpul di atas satu pentas untuk memberikan persembahan yang luar biasa. Dengan suara memukau dan gaya unik masing-masing, malam tersebut penuh dengan emosi, hiburan, dan nostalgia bagi peminat yang hadir. Konsert dimulakan dengan lagu Sumandak Sabah yang menggegarkan dewan, diikuti dengan persembahan Wani Kayrie yang membawakan lagu popular Aiman Tino dengan aksi yang memukau. Ayu Damit kemudian mengimbau kenangan manis dengan lagu Hanya Di Mercu, mengingatkan peminat ketika beliau menjuarai One In A Million musim kedua hampir dua dekad lalu.

Marsha Milan tampil cemerlang dengan lagu Cinta yang menduduki tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36). Seterusnya, Bella dan Didi Astillah, dua adik-beradik berbakat, menyanyikan lagu Bermanja-manja bersama, sebelum Bella memukau dengan lagu solo Tapi Bukan Denganmu. Persembahan terus memanas dengan Nikki Palikat, Adira Suhaimi, dan Ayu yang menghangatkan suasana dengan lagu Drama. Salma, juara Mentor musim kelima, turut tidak mengecewakan dengan lagu Aku Permata, dan Adira melengkapkan persembahan dengan lagu hitnya Pujaan Hati. Akhirnya, Azharina, dikenali sebagai Queen of Soul, menutup konsert dengan vokal padu menerusi lagu Rawan, Seandainya, dan Elegi Sepi.

Sebagai kejutan istimewa, kesemua artis bersatu di akhir acara untuk menyanyikan medley lagu Anak Kampung dan Original Sabahan, menciptakan suasana penuh keakraban dan nostalgia. Dato’ Fadzli turut melahirkan rasa optimis terhadap masa depan Orange International, dengan berkata, “Kami sentiasa mencari cara untuk menghadirkan hiburan berkualiti dan bermakna.”

Konsert ini turut mendapat sokongan daripada Yang Dipertua Negeri Sabah, dengan sambutan luar biasa daripada peminat dari Sabah, Semenanjung Malaysia, Singapura, dan Brunei. Selain itu, ia turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya. Orange International Entertainment merancang untuk membawa konsert ini ke Sabah pada tahun depan. “Selepas kejayaan ini, kami merancang lebih banyak acara yang akan menampilkan gabungan artis dari pelbagai genre dan latar belakang untuk memberikan pengalaman muzik yang pelbagai kepada peminat di seluruh negara,” tambah Dato’ Fadzli.

Kejayaan konsert ini sekali lagi membuktikan komitmen Orange International dalam menyediakan platform untuk mempamerkan muzik berkualiti dan menyatukan rakyat Malaysia serta negara serantau dalam semangat kesatuan melalui seni. Tahniah kepada semua artis dan pasukan yang terlibat atas kejayaan gemilang ini!