Maestro muzik cinta Indonesia, Yovie Widianto, kembali dengan karya terbaharu yang mengangkat keindahan dan kepedihan cinta. Kali ini, beliau berkolaborasi bersama tiga bintang muda berbakat besar, Lyodra, Tiara Andini, dan Ziva Magnolya. Lagu terbaru mereka, “Apa Artinya Aku,” adalah hasil ciptaan Arsy Widianto, anak kepada Yovie, dan diterbitkan khas oleh Yovie sendiri untuk trio ini, yang dikenali sebagai LTZ.
“Apa Artinya Aku” membawa kisah yang menyentuh tentang cinta yang tidak berbalas. Liriknya menggambarkan perasaan seseorang yang menaruh harapan tinggi, namun kecewa apabila dirinya hanya dianggap sebagai pilihan kedua oleh insan yang dicintainya.
Menurut Arsy Widianto, komposer lagu ini, tema cinta tidak berbalas menjadi inti cerita. “Lagu ini ringkas tetapi sangat mendalam. Ia tentang seseorang yang terus menunggu dengan penuh harapan, hanya untuk berdepan dengan kenyataan yang menyakitkan. Lagu ini bertemakan kekecewaan dan kesedihan cinta,” jelas Arsy.
Bagi Yovie Widianto, Lyodra, Tiara, dan Ziva dipilih kerana kehebatan vokal mereka yang memukau. “Proses rakaman bersama mereka amat menyentuh hati. Suara mereka yang unik menambah keindahan pada lagu ini, walaupun ada cabaran di bahagian ‘bridge’, namun hasilnya luar biasa,” kata Yovie.
Yovie turut memuji kemampuan vokal mereka yang dianggap antara yang terbaik dalam industri muzik hari ini. “Saya sangat menyukai karakter suara mereka. Saya tahu bagaimana lagu ini harus disampaikan berdasarkan keunikan vokal mereka masing-masing,” tambahnya.
Ini bukan kali pertama Yovie bekerjasama dengan LTZ. Pada tahun 2023, mereka mempersembahkan lagu “Menyesal” yang menjadi sebahagian daripada album Yovie & His Friends di bawah Universal Music Indonesia. Lagu itu meraih kejayaan besar dengan lebih 140 juta penstriman di Spotify dan 57 juta tontonan di YouTube.
Sebelum itu, pada tahun 2020, Lyodra, Tiara, dan Ziva juga tampil dengan projek lagu #TerlanjurMencinta dalam tiga versi: “Mengapa Kita #TerlanjurMencinta” (Lyodra), “Maafkan Aku #TerlanjurMencinta” (Tiara), dan “Tak Sanggup Melupa #TerlanjurMencinta” (Ziva).
Lagu “Apa Artinya Aku” menampilkan susunan muzik balada pop yang indah, menggabungkan alunan piano, rentak strings section, dan harmoni vokal yang mengasyikkan. Video muziknya diarahkan oleh Jessy Sylviani dan Bobby Adrian V, dengan pelakon utama Michelle Ziudith, yang berjaya menyampaikan emosi watak wanita yang kecewa.
“Video muzik ini dihasilkan dengan sangat teliti, menampilkan naratif mendalam dan visual sinematik yang menawan. Setiap elemen diolah untuk menyokong kisah lagu ini, termasuk pemilihan pakaian dan sinematografi,” ujar Yovie.
Yovie berharap lagu ini dapat diterima dengan baik oleh peminat muzik dan memberi kekuatan kepada mereka yang pernah mengalami kisah cinta yang sama.
“Apa Artinya Aku” kini tersedia di semua platform digital, sementara video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Yovie Widianto. Jangan lupa masukkan lagu ini dalam senarai main anda dan nikmati keindahan kisah cinta yang terselit dalam melodi dan liriknya.
Penstriman di Semua Platform: “Apa Artinya Aku” LINK
Video Muzik Rasmi: “Apa Artinya Aku” LINK
Kredit Audio:
- Komposer: Arsy Widianto
- Penerbit: Yovie Widianto & Adrian Kitut
- Al Keys, Piano, Pad: Adrian Kitut
- Yamaha CP Piano: Yovie Widianto
- Pengarah Vokal: Bowo Soulmate & Dennis Nussy
- Rec Engineer: Yusup Albatani
- Digital Editor: Hery Alesis
- Mixing & Mastering: Ari Renaldi di ARU Studio