KRU Buktikan Kehebatan Vokal dan Teknologi dengan “One More Time”

KRU, trio legenda yang telah mempengaruhi industri muzik tanah air sejak lebih dua dekad lalu, sekali lagi mencipta sensasi dengan pelancaran single kedua dari album terbaru mereka, “Kaset”, berjudul “One More Time”. Lagu ini bukan sahaja mengimbau nostalgia era muzik R&B 90-an, malah turut menampilkan inovasi terkini dalam teknologi video muzik, dengan penggunaan Digital Twin (kembar digital) yang membawa penonton merentasi masa.

“One More Time” yang dicipta sepenuhnya oleh Norman, Yusry, dan Edry, memaparkan perjalanan emosi seseorang yang kecewa setelah gagal dalam percintaan. Liriknya yang mendalam membawa pendengar merasai kesedihan dan keperitan hati ketika berhadapan dengan kenyataan bahawa bekas kekasihnya kini hidup bahagia bersama orang lain. Walaupun penuh dengan kekecewaan, lagu ini masih menyuntik rasa harapan dan keberanian untuk melangkah ke depan.

Kelebihan utama lagu ini terletak pada kesempurnaan vokal KRU yang semakin matang. Melodi yang memikat, diiringi dengan penghayatan vokal yang penuh emosi, membuktikan bahawa mereka masih relevan dalam dunia muzik masa kini. “One More Time” memperlihatkan kematangan KRU dalam menyampaikan lagu balada, sesuatu yang dinantikan ramai peminat mereka setelah kejayaan single pertama “Voodoo”.

Selain daripada kekuatan lirik dan melodi, video muzik “One More Time” juga menonjolkan penggunaan teknologi yang canggih. KRU, yang dikenali dengan pendekatan berinovasi, kali ini menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta Digital Twin mereka. Konsep ini membolehkan peminat menyaksikan wajah-wajah KRU dalam pelbagai era – dari masa lalu, kini, hingga masa depan – memberikan pengalaman visual yang luar biasa. Pendekatan ini memberi dimensi baru kepada cara lagu diceritakan, sekaligus meningkatkan kesan emosi yang ingin disampaikan kepada penonton.

Kenny Ong, Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn Bhd, turut memberikan pujian terhadap kemahiran KRU dalam memadukan muzik dan teknologi. “KRU adalah contoh artis yang serba boleh, bukan hanya dalam nyanyian dan penciptaan lagu, tetapi juga dalam penggunaan teknologi terkini untuk memberi nafas baru kepada industri muzik. Kami yakin video muzik ‘One More Time’ akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan memperkukuhkan kedudukan KRU sebagai salah satu ikon muzik Malaysia yang kekal relevan.”

Sebelum ini, KRU telah mencatat kejayaan besar dengan single pertama mereka, “Voodoo”, yang bukan sahaja mendapat sambutan hangat di Malaysia, tetapi turut menarik perhatian peminat muzik di luar negara, termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat. Muzik video “Voodoo” di YouTube telah mencecah lebih 1.2 juta tontonan dalam masa singkat, memperlihatkan potensi KRU untuk terus mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut tentang lagu “One More Time”, Norman berkata, “Lagu ini merupakan satu penghargaan buat peminat setia kami yang sentiasa menantikan lagu-lagu balada selepas kami mengeluarkan single rancak seperti ‘Voodoo’. Kami berharap lagu ini dapat diterima dengan baik dan terus mengukuhkan momentum album Kaset yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.”

“One More Time” akan tersedia di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan YouTube Music bermula 17 Januari 2025. Peminat boleh mengikuti perkembangan terkini dan mendapat kemas kini mengenai KRU melalui akaun rasmi mereka di YouTube, Instagram, TikTok, dan Facebook.