Nasib tidak menyebelahi Maya sekeluarga apabila Maya ditinggalkan suaminya, Syukri yang menghilangkan diri akibat ketagihan dadah. Kehidupan Maya yang terdiri daripada lima orang anak kecil iaitu Azhar, Mia, Adi, Yeye dan Adam menjadi gelap dan huru-hara. Adakah Maya dan keluarganya akan mengatasi kesukaran mereka?
Drama bersiri 13 episod ini merupakan terbitan syarikat produksi KL Motion Pictures telah mengisi slot Lestary bermula pada 15 Mac 2023 mengambil alih siri drama Kami Budak Band. Saksikan Jaga Aku Selamanya bersiaran setiap hari Rabu hingga Sabtu pada pukul 9.00 malam di saluran TV3 atau strim secara langsung secara definisi tinggi di www.tonton.com.my
Diarahkan oleh Wan Alauddin Wan Zainuddin, Shahril Sarjen dan Rashidi Ishak, drama ini menampilkan pelakon popular dan bakat muda yang hebat seperti Nadiya Nisaa, Johan As’ari, Puteri Rafasya, Baqir Jamalullail, Dzul Hadziq, Putri Lesya, Rashidi Ishak, Hafiz Halim dan ramai lagi.
Demi kelangsungan hidup keluarga, Maya (Nadiya Nisaa) terpaksa membawa diri bekerja di bandar dan terpaksa mengharapkan Azhar (Baqir Jamalullail) selaku anak sulung untuk menjaga adik-adiknya. Azhar selaku anak sulung terpaksa berkorban dan sanggup berhenti sekolah demi melakukan apa saja kerja demi mendapatkan sumber kewangan untuk adik-adiknya.
Mak Minah (Aishah Sudin) satu-satunya jiran mereka yang prihatin tentang Azhar dan adik-adiknya, namun seringkali dimarahi oleh anaknya, Seri (Farhana Fahizam). Seri telah berjanji dengan Maya untuk menjadi pengantara antara Maya dan anak-anaknya tetapi sentiasa bertindak kasar terhadap Azhar dan adik-adiknya, bahkan sengaja mencuri duit yang dikirim oleh Maya untuk keperluan anak-anaknya, demi keseronokan dirinya sendiri.
Sementara itu, nasib Maya di bandar pula diuji apabila dia sering diganggu oleh majikannya, Encik Mujid (Jeri Ariffin) yang gatal dan menyebabkan isterinya, Kak Sal (Shareena Esa) tidak berpuas hati dengan Maya sehingga akhirnya Maya dibuang kerja. Keadaan itu memberi peluang kepada Amri (Zac Zikrie) untuk mempergunakan Maya yang kononnya prihatin terhadap nasib Maya dan anak-anaknya. Apakah nasib yang bakal menimpa Maya setelah diperlakukan begitu? Dapatkah Azhar kekal tabah menggalas tanggungjawab menjaga adik-adiknya?
Jangan terlepas untuk saksikan Jaga Aku Selamanya di slot Lestary, setiap hari Rabu hingga Sabtu pada pukul 9.00 malam dan strim langsung secara definisi tinggi melalui www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.