INSENTIF KHAS UNTUK USAHAWAN MENU RAHMAH SEDANG DILAKSANAKAN

Pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim Perdana Menteri berhubung pelaksanaan insentif khas kepada pengusaha Menu RAHMAH melalui pemberian diskaun istimewa di pasaraya terpilih mulai pertengahan Mei 2023 disambut meriah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Kementerian yakin melalui Insentif Khas ini, pengusaha-pengusaha Menu RAHMAH dapat terus menyediakan Menu RAHMAH kepada pengguna secara berterusan untuk jangka masa yang lebih panjang. Insentif ini juga dijangkakan akan menggalakkan lagi lebih ramai pengusaha restoran untuk menyertai Inisiatif Menu RAHMAH.

KPDN akan memperluaskan Insentif Diskaun Khas Pengusaha Menu RAHMAH ini kepada pembekal-pembekal bahan mentah melalui sesi libat urus yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Oleh yang demikian, Kementerian ingin menyeru lebih ramai pengusaha untuk menyertai Inisiatif Menu RAHMAH dengan mendaftar di 2 portal Menu RAHMAH (http://menurahmah.kpdn.gov.my) untuk mendapatkan inisiatif istimewa tersebut.

Pelaksanaan Inisiatif Menu RAHMAH yang diterajui oleh KPDN sejak 31 Januari 2023 ini telah mendapat sokongan yang amat menggalakkan dengan penyertaan pengusaha makanan dan juga pengguna. Sehingga 15 April 2023, sebanyak 1,706 pengusaha Menu RAHMAH telah mendaftar di portal Menu RAHMAH dengan penyediaan menu makanan yang seimbang dan berkhasiat pada harga dibawah RM 5.00.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *