Nama Shaz semakin dikenali selepas menjadi peserta program realiti TV3 Terpaling Juara dan mengeluarkan lagu terbaharunya, ‘Dentingan Jiwa’ pada Mac lalu. Shaz, yang nama penuhnya Shazreen Shaharum, telah memulakan siri podcast yang dipanggil “Secangkir Latte & Rindu” untuk peminat setianya pada 19 April 2023.
Podcast ini menceritakan tentang kehidupan wanita muda berusia awal 20-an mengupas isu-isu yang berkaitan dengan cinta dan patah hati ini mula disiarkan pada pertengahan April 2023. Dengan perlahan-lahan, ia mula memikat selera pendengar yang inginkan kandungan dari podcaster tempatan, terutamanya dalam Bahasa Melayu.
Menerusi podcast “Secangkir Latte & Rindu”, Shaz berkongsi bersama pendengar tentang kisah hidupnya sebagai seorang graduan dalam bidang pendidikan muzik dan bagaimana dia menceburkan diri ke bidang seni yang diminatinya ini. Pada masa yang sama, Shaz turut kongsikan pengalaman sepanjang bergelar anak seni dan menceritakan cara-cara dia menangani konflik dan masalah yang dialaminya yang mana dapat memberi inspirasi kepada para remaja masa kini. Podcast yang diilhamkan dari pandangan hidupnya sendiri ini dilihat sebagai satu idea yang segar, dikongsi melalui lensa seorang remaja yang sedang melalui proses pendewasaan.
Pelancaran podcast “Secangkir Latte & Rindu,” secara tidak langsung mempelbagaikan lagi bakat dan kebolehannya dalam bidang seni Shaz. “Secangkir Latte & Rindu” boleh didengar dan dimuat turun melalui platform podcast utama, termasuk Spotify, Apple Podcasts dan MeListen.
Siri terbitan Mediacorp yang ditulis oleh Julie Anne ini menjanjikan hiburan serta pengalaman baru untuk pendengar dengan keaslian dan pesona penceritaan Shazreen yang menggambarkan personalitinya. Kata Shazreen, “Saya sangat gembira untuk berkongsi ‘Secangkir Latte & Rindu’ dengan dunia. Melalui podcast ini, saya berharap dapat berhubung dengan pendengar secara peribadi dan memberi mereka perspektif dan idea yang bersesuaian dengan pengalaman yang mereka sedang lalui.”