ROSSA “Another Journey, The Beginning” Live in Kuala Lumpur

Penyanyi popular Indonesia, Rossa kembali ke negara ini menghiburkan peminatnya menerusi konsert Another Journey: The Beginning yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Julai.

Dan seperti dijangka, kemunculannya itu dinanti peminat setianya yang digelar Pencinta Rossa apabila semua tiket untuk konsert tersebut habis terjual dalam masa 24 jam.

Akur dengan permintaan ramai, penganjur yang enggan menghampakan peminat diva tersohor Indonesia itu bersedia menambah satu lagi malam konsert iaitu pada 13 Julai depan.

Mengulas mengenai sambutan luar biasa peminat terhadap konsert Another Journey: The Beginning, Rossa, 44, terharu kerana kemunculannya terus dinanti ramai.

Disebabkan enggan menghampakan harapan peminat, dia bersedia untuk beraksi satu malam lagi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sokongan luar biasa yang diberikan itu.

Konsert Another Journey: The Beginning kata Rossa, sedikit istimewa kerana tidak hanya membawa peminat menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya, malah turut memperkenalkan lagu terbaru daripada album yang menggunakan judul sama yang dilancarkan pada Februari lalu.

Tidak bersendirian, konsert itu menyaksikan Rossa bakal bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian pada 13 Julai dan Mahalini Raharja (14 Julai), selain turut memperkenalkan bakat baharu, Zareef Sein.

Mahilini yang sedang popular dengan lagu Sial turut memberikan sentuhannya menerusi lagu Lupakan Cinta yang dimuatkan dalam album Another Journey: The Beginning. Dream Collaboration dibawakan Inspire.IDN dan didukung oleh HotBox, Chatime, VGI dan Zepp Kuala Lumpur.

Tiket untuk persembahan 13 Julai berharga RM178, RM198, RM388, RM508, RM688 dan RM8,888 (Royal Box) boleh diperoleh menerusi pautan: ticket2u.com.my pada 26 Mei ini, bermula jam 3 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *