Versi terkini lagu “Cinta Yang Paling Sempurna” (CYPS) pada tahun 2024 memperlihatkan sentuhan gelap yang dalam, dengan perubahan kunci dari mayor ke minor. Kolaborasi antara MonoloQue dan Kimal dari Margasatwa telah mencipta suasana yang lebih misteri, menyerupai gaya karya-karya M. Nasir dan Pak S. Atan yang kerap menggunakan kunci minor untuk memberikan suasana yang berbeza.
Perjalanan penciptaan lagu “Cinta Yang Paling Sempurna” bermula pada tahun 2016 di antara Encik Farid dengan LoQue. Diinspirasikan daripada band-band seperti The Mercy’s dan D’lloyd yang telah banyak membentuk minat LoQue. LoQue mula mengarang lirik lagu ini dengan menggunakan ‘key major’ ketika itu. Kemudian, pada tahun 2017 barulah Tomok dipelawa untuk bekerjasama bersama. Kerjasama ini telah melibatkan Penerbitan Pancasona dan Muzium Negeri Pahang. Lagu ini kemudiannya siap dan dilepaskan pada bulan Ramadan tahun 2017,
diiringi rakaman Muzik Video di Rumah Api Tanjung Tuan Port Dickson.
Versi Gelap ini menandakan detik penting kerana ia dianggap sebagai karya terakhir untuk era “Jangan Puja Sampai Kecewa” (album ke-2 MonoloQue). Muzik Video untuk versi asal tersebut telah diarahkan sepenuhnya oleh LoQue. Tambahan lagi, dengan kerjasama daripada Muzium Negeri Pahang, elemen budaya dapat dimasukkan menjadikannya penuh dengan warisan yang kaya dari rantau kita.
Semasa COVID-19 atau ketika “perang dunia” berlaku, Encik Farid melihat peluang untuk lagu ini diberi nafas segar semula lalu dia meminta LoQue memberikan satu sentuhan magis.
“Carilah kesempurnaan, walaupun kita tidak akan dapat menemuinya”. kata Encik Farid, 2024.
Kemudian pada tahun 2021, Loque berjaya siap untuk menghasilkan demo versi baharu lagu ini dengan penggunaan ‘key minor’ dan memberikan elemen seakan-akan balada Malaysia yang lebih “gelap” kepada bunyian not muzik lagu ini. Menurut LoQue, “Lagu ini salah satu lagu dengan penggunaan kord “minor-ish” paling ketara yang pernah dihasilkan seumur hidupnya”.
Lagu “Cinta Yang Paling Sempurna (Versi Gelap)” ini menyaksikan Saudara Kimal duet bersama namun tetap mengangkat versi asal sebagai rujukan. Menurut Kimal, “Lagu ini dengan adalah gambaran tepat jiwa seorang hamba yang mendambakan cinta ilahi”. Walaupun lagu ini belum dimuktamadkan untuk dimasukkan ke dalam album baharu, namun lagu ini akan disertakan dalam Sesi Bilik Bedah Raya yang memberi gambaran sama tentang kelainan versi gelap.
Untuk pengetahuan anda juga, keseluruhan ahli kumpulan MonoloQue sendiri tidak pernah mendengar CYPS Versi Gelap kecuali Bakri yang bermain dram. “Oleh kerana Versi Gelap ini lebih “gelap” daripada versi asal, pemilihan penyanyi untuk duet dilakukan dengan amat teliti oleh LoQue dan Encik Farid kerana agak sukar untuk mencari penyanyi yang sesuai membawakan lagu-lagu dengan “key minor”. LoQue bersyukur Kimal bersetuju dengan
pelawaan ini dan cemerlang dalam penyampaiannya yang tersendiri serta melengkapkan kualiti yang dicari-cari.
Semoga Versi Gelap tahun 2024 ini dapat diterima semua.