‘A Night With Sumandak Stars’ Konsert Epik Himpunkan Bintang Dari Sabah

Orange International, sebuah syarikat penganjur konsert yang terkenal dengan daya kreativiti dan inovasi dalam menganjurkan acara hiburan, bakal menganjurkan konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku’.

Baru-baru ini, dalam sebuah sidang media eksklusif yang diadakan di Sky Lounge, Tingkat 40, Hotel Tamu, Kuala Lumpur, mereka dengan bangganya mengumumkan konsert yang dinanti-nantikan itu. Konsert ini bakal berlangsung pada 30 November 2024, di Zepp Kuala Lumpur dengan kelengkapan teknologi canggih untuk memastikan pengalaman audio dan visual yang menakjubkan.

Konsert yang dijadualkan bermula pada 8:00 malam ini akan menampilkan gabungan tujuh artis wanita kelahiran Sabah yang popular seperti Bella Astillah, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikki Palikat, Wani Kayrie dan Didi Astillah. Gabungan hebat ini menjanjikan malam yang penuh dengan keajaiban muzik, di mana setiap penyanyi akan membawa suara dan gaya unik mereka untuk memikat hati para peminat dari seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Dato’ Mohd Fadzli Idrus, dalam kenyataannya, menekankan bahawa konsert ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, di mana penyanyi-penyanyi wanita dari Sabah yang berjaya digandingkan dalam satu pentas. “Ini adalah satu pencapaian istimewa yang kami sangat banggakan. Buat julung-julung kalinya, kita dapat mengumpulkan kesemua penyanyi terkenal kelahiran Sabah di satu acara. Kami yakin, konsert ini bukan sahaja akan menghiburkan tetapi juga membawa nostalgia dan kenangan manis kepada peminat muzik tempatan,” katanya.

Konsert Sumandak Stars

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan artis-artis ini adalah berdasarkan kejayaan dan pencapaian luar biasa mereka dalam industri muzik tempatan dan antarabangsa. Setiap artis yang terpilih bukan hanya berbakat besar, tetapi juga telah meraih pelbagai pengiktirafan dalam anugerah-anugerah berprestij. Sebagai contoh, Bella Astillah, selain menjadi figura yang semakin popular, beliau memenangi anugerah ‘Celebrity Of The Year’ di TikTok Awards Malaysia 2024, membuktikan pengaruhnya dalam industri hiburan. Marsha Milan, yang sudah sekian lama menjadi bintang di persada muzik tempatan, juga tidak kurang hebatnya, dengan kejayaan memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Tidak ketinggalan, nama-nama seperti Adira Suhaimi dan Stacy Anam, yang masing-masing sudah mencipta fenomena tersendiri dalam industri muzik tanah air, turut disertakan dalam barisan persembahan. Kekuatan vokal mereka yang luar biasa, ditambah dengan gaya persembahan yang memukau, pastinya akan meninggalkan impak mendalam kepada penonton.

Sementara itu, Nikky Palikat, seorang lagi penyanyi berbakat dari Sabah, turut akan menyerlahkan keistimewaan suara emasnya. Beliau yang telah lama dikenali dalam arena muzik tempatan dengan vokal yang lantang dan gaya persembahan yang berkarisma, pastinya akan menambah seri kepada malam tersebut.

Menariknya, konsert ini juga akan menampilkan dua bintang muda yang sedang meningkat naik dalam industri hiburan tempatan, iaitu Wani Kayrie dan Didi Astillah. Kedua-dua mereka adalah antara generasi baru yang sedang mencipta nama dalam industri muzik.

Dato’ Fadzli menegaskan bahawa pentingnya memberi peluang kepada bakat muda untuk menonjol di pentas yang lebih besar. “Konsert ini adalah platform yang sangat sesuai untuk mereka menonjolkan bakat yang mereka miliki. Kami percaya bahawa mereka akan mampu memukau penonton dengan persembahan yang luar biasa,” ujar beliau.

Mengambil kira kejayaan konsert-konsert terdahulu yang dianjurkan oleh Orange International, seperti Radja & Ella, Wali Band X Setia, dan yang terbaru, Drama Band, yang tiketnya habis terjual dalam tempoh singkat, konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku’ dijangka mendapat sambutan luar biasa.

“Kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada peminat muzik tempatan dengan menghasilkan acara-acara yang bukan hanya menghiburkan, tetapi juga menyentuh emosi dan meninggalkan kesan yang mendalam,” tambah beliau.

Bagi peminat yang ingin menghadiri konsert ini, Orange International turut menjanjikan beberapa kejutan istimewa. Walaupun butirannya masih dirahsiakan, Dato’ Fadzli memberi bayangan bahawa akan ada segmen istimewa yang belum pernah disaksikan sebelum ini. Penonton akan disajikan dengan gabungan persembahan solo, duet, dan mungkin juga kolaborasi istimewa di kalangan artis-artis yang terlibat.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert ini, tiket akan mula dijual tidak lama lagi. Untuk maklumat lanjut mengenai tiket, peminat boleh melayari laman web rasmi di Ticket2u.com.my/sumandak atau menghubungi talian hotline di +6012-4949 267.

Harga-harga tiket adalah seperti berikut:

  • VIP [Special Seating]           – RM349
  • Cat 1 [Normal Seating]        – RM239
  • Cat 2 [Free Standing]           – RM139
  • Cat 3 [Normal Seating]       – RM259
  • Cat 4 [Normal Seating]       – RM159
  • VIP Box                                     – RM6999

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *