Bintang-bintang terkemuka industri muzik tempatan, Achey dan Tantari, telah mencipta fenomena baru dengan kolaborasi pertama mereka dalam single berjudul “Biar”. Lagu ini, yang dilancarkan pada 30 Ogos 2024, telah mendapat sambutan hangat daripada peminat muzik di seluruh negara.
Video muzik rasmi “Biar” yang dimuat naik ke YouTube pada hari Jumaat lalu telah berjaya menduduki tangga Top 30 Trending untuk muzik di YouTube dengan lebih 60,000 tontonan dalam masa hanya 3 hari. Ini merupakan satu pencapaian luar biasa yang membuktikan populariti lagu ini dan kerjasama hebat antara kedua-dua artis.
Achey, yang dikenali sebagai seorang artis serba boleh, bukan sahaja berbakat dalam bidang komedi, lakonan, dan pengacaraan, tetapi juga memiliki bakat luar biasa sebagai penyanyi dan penulis lagu. Lagu-lagu ciptaannya seperti “Sakit” dan “Yang Terindah” telah meraih jutaan tontonan di YouTube, membuktikan kehebatannya dalam menghasilkan karya muzik yang disukai ramai.
Tantari, atau nama sebenarnya Naufal Zahirul Azahael Mohd Alfian, merupakan penyanyi kanak-kanak berusia 7 tahun yang telah mencuri perhatian ramai dengan single sulungnya “Rindu Hatiku Rindu”. Lagu ini telah menduduki tangga #1 Trending untuk muzik di YouTube selama 20 hari berturut-turut dan meraih lebih daripada 8 juta tontonan, menjadikannya satu fenomena dalam industri muzik tempatan.
Kolaborasi antara Achey dan Tantari dalam single “Biar” merupakan gabungan bakat istimewa yang menghasilkan karya muzik yang luar biasa. Lagu ini ditulis sepenuhnya oleh Achey, yang juga merupakan penulis bagi semua lagu-lagu hitnya sebelum ini.
Menurut Achey, “Biar” mengisahkan tentang seorang lelaki yang sentiasa berusaha untuk mencapai kesempurnaan dalam hubungannya, tetapi akhirnya menyedari bahawa tiada apa yang sempurna dalam hidup ini. Lagu ini menyampaikan pesanan bahawa walaupun kita berusaha untuk mencapai kesempurnaan, kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan adalah sebahagian daripada kehidupan.
Tantari pula menyatakan bahawa kerjasama ini amat bermakna baginya kerana dapat berkolaborasi dengan seorang penyanyi dan penulis lagu ternama walaupun baru setahun jagung terlibat dalam industri muzik tempatan. Dia juga berterima kasih kepada semua yang menyokong perjalanan kerjayanya dan berjanji akan terus berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan.
Single “Biar” kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik yang ada di Malaysia. Muzik video rasmi “Biar” juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
Dengan lirik yang mendalam, melodi yang menyentuh hati, dan gabungan vokal yang sempurna antara Achey dan Tantari, “Biar” pastinya akan terus mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan dan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.