Sat. Apr 13th, 2024

Penyanyi lagu “Cinta Luar Biasa,” Andmesh Kamaleng, yang dilahirkan di Nusa Tenggara Timur, Indonesia, baru-baru ini melawat Malaysia pada jam 11:30 pagi di Centre Court, The Curve, untuk mempromosikan persembahan debutnya yang akan datang, “Andmesh Kamaleng Live Di Kuala Lumpur,” yang akan berlangsung pada 4 Jun 2023, jam 8:30 malam di Dewan Plenari, KLCC dan sedang dipersembahkan khas oleh syarikat Kharisma Music International.

“Terima kasih kepada pengamal media Malaysia yang sudah hadir memberikan sokongan di sidang akhbar ini dan tidak sabar rasanya hendak menghiburkan kamu semua pada tanggal 4 Jun nanti.

“Ini merupakan konsert solo pertama saya di Malaysia dan sudah lama saya idamkan untuk membuat persembahan di sana,” jelas pemilik nama sebenar Jeandmesh Antonio Kamaleng, 25 tahun.

Menurut En. Ahmad Jeffny, selaku Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, “Jutaan terima kasih ingin saya ucapkan kepada semua rakan media yang sudi hadir bagi memeriahkan sidang media Andmesh Kamaleng Live In Kuala Lumpur pada hari ini, di sini saya juga ingin berterima kasih kepada rakan penganjur seperti Kamya, selaku rakan pengurusan HAPM , rakan radio rasmi, ERA & Gegar, dan juga The Curve & Royale Chulan  sebagai rakan sidang media.

“Jumpa nanti di konsert Andmesh dan sama-sama kita raikan cinta pada malam itu!”

Seperti yang direncanakan, Andmesh dan pemuzik dari Indonesia bakal hadir di Malaysia dalam sebuah konsert yang ditunggu-tunggu peminatnya di sini, katanya dengan teruja, “Sesungguhnya ini merupakan impian saya dari dahulu lagi untuk menghiburkan peminat di Malaysia, saya sudah persiapkan ‘team’ yang rapi agar semuanya berjalan dengan lancar.

“Seramai 6 orang pemuzik profesional dari Indonesia bakal mengiringi saya ketika konsert itu nanti yang dijangkakan berlangsung selama 2 jam dengan kurang lebih 15 buah lagu yang dipersembahkan.

“Konsep konsertnya nanti bertemakan cinta, saya mahu kesemua penonton konsert yang hadir merasakan ‘cinta’ melalui muzik, lirik dan nada yang saya bawakan.

Setakat ini, segala persiapan menuju konsert sedang dijalankan dan ‘team’ Andmesh memastikan setiap pengunjung konsert dapat merasai pengalaman muzik yang maksimal.

“Istimewanya pada konsert itu nanti, susunan muziknya juga akan mengalami perubahan khas untuk peminat di Malaysia, rugi bagi siapa tidak menghadirkan diri. Pastinya ada juga kejutan yang dipersembahkan nanti dan kalau hendak tahu kenalah beli tiket konsert nanti.

“Saya berharap agar pengunjung konsert terkesan dengan lagu-lagu yang saya persembahkan, merasakan cinta dengan karya-karya saya, dan pulang ke rumah dengan memori yang indah.

“Jangan lupa dengan janji kita pada Jun tahun ini, salam sayang dari Andmesh Kamaleng,” akhiri penyanyi tersebut.

Tiket kategori VVIP “Anugerah Terindah” sudah SOLD OUT! Tinggal sedikit sahaja lagi tiket kategori lain , cepat dapatkan di andmesh.ubertickets.asia

 

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *