Uji bakat Calpis Soda One In A Million (OIAM) yang kedua baru saja berakhir minggu lepas di Sabah dan Pulau Pinang. Kedua-dua lokasi ini meriah dengan kehadiran peserta-peserta berbakat yang mempamerkan persembahan unik, meninggalkan kesan luar biasa sepanjang dua hari uji bakat tersebut berlangsung.
Dalam wawancara yang diadakan di Sabah dan Pulau Pinang, Sarah dan Shafiq memberikan pandangan mereka mengenai keistimewaan peserta-peserta di kedua-dua lokasi ini. Menurut mereka, para peserta bukan sahaja kelihatan bersedia tetapi juga memiliki bakat yang mengagumkan, melebihi jangkaan mereka sepanjang sesi uji bakat tersebut.
Sarah menyatakan bahawa sesi uji bakat dua hari di Sabah memberikan kesan berbeza berbanding di Johor, kerana para peserta Sabah tampil dengan keunikan tersendiri. Katanya, “Para peserta di Sabah memiliki cara tersendiri dalam menyampaikan bakat mereka. Walaupun ada yang bukan penyanyi ‘powerhouse,’ mereka tetap menonjol dengan gaya busking dan keunikan individu. Kredibiliti mereka sangat baik sehingga membuatkan kami berfikir dua kali untuk memilih yang terbaik. Secara keseluruhannya, prestasi peserta Sabah amat mengagumkan tanpa mengira jantina,” jelas Sarah.
Sarah juga menambah, “Setibanya di Sabah, saya teringat nama-nama besar seperti Marsha Milan, Rich Estranged, dan Velvet. Ternyata, bakat di Sabah tidak pernah habis. Dalam uji bakat kali ini, Sabah sememangnya mendahului dengan keistimewaan tersendiri yang sangat mengagumkan.”
Di Pulau Pinang pula, Shafiq Erwin berkongsi, “Di sini, ramai yang berbakat menyanyi, namun dari segi pemilihan lagu dan genre, masih kurang bersedia. Kami mahukan variasi, bukan sekadar rock dan balada. Keyakinan diri dan penampilan juga perlu ditingkatkan. Dalam uji bakat ini, kami lebih fokus pada kualiti suara yang jelas dan persiapan diri yang baik. Walaupun ada ramai yang berbakat, belum ramai yang benar-benar siap. Namun, saya teruja dengan penyertaan peserta dalam kategori kumpulan atau duo, yang merupakan tambahan baru bagi Calpis Soda One In A Million kali ini.”
Program ikonik OIAM ini terkenal sebagai platform hebat untuk mencungkil bakat baru, memberikan ruang kepada mereka untuk beraksi di pentas besar. Peluang ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menonjolkan bakat mereka dan merebut hadiah utama bernilai RM1 juta!
Sesi uji bakat seterusnya akan berlangsung pada 16 dan 17 November 2024, Sabtu dan Ahad, bertempat di AEON Hall Aras 4, AEON Mall Shah Alam, dan Blok D, Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya dari 10 pagi hingga 10 malam. Ini adalah peluang keemasan bagi mereka yang bersemangat dan bercita-cita tinggi untuk menunjukkan bakat dan potensi menjadi bintang Calpis Soda One In A Million!
Bersiaplah untuk menyaksikan musim baru Calpis Soda One in A Million di TV3 pada bulan Disember ini. Jangan lupa untuk mengikuti @TV3Malaysia di semua platform media sosial untuk perkembangan terkini dan merasai keterujaan bersama Calpis Soda, minuman soda kultur kegemaran anda.
Untuk maklumat lebih lanjut, ikuti akaun rasmi TV3 Malaysia di Facebook, Instagram, dan Twitter di @TV3Malaysia, serta TikTok di @TV3MalaysiaOfficial.