Akon Kembali ke Pentas Asia Tenggara: Superfan Tour Live di Malaysia & Singapura 2024

akon

Jeeharris Entertainment, syarikat penganjuran acara yang diterajui oleh selebriti tempatan, Harris Baba, akan membawa Akon, penyanyi antarabangsa terkenal, untuk konsert bertajuk Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore.

Acara ini bakal berlangsung pada 19 November 2024 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur dan pada 20 November 2024 di Arena @ Expo Hall 7, Singapura.

Kejayaan ini tidak hanya menunjukkan dedikasi Harris dalam dunia hiburan tetapi juga usaha gigihnya dalam membawakan pengalaman bertaraf dunia kepada peminat Malaysia dan Singapura.

Sebagai penganjur, Harris Baba mengakui proses membawa Akon ke Malaysia dan Singapura bukanlah mudah. Setelah tujuh hingga lapan bulan perbincangan dan perubahan jadual, akhirnya Jeeharris Entertainment berjaya memuktamadkan acara ini, yang menjadikan mereka satu-satunya penganjur yang membawa Akon ke dua negara dalam bulan yang sama.

Harris menyatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras pasukan dan rakan kongsinya, serta satu bentuk ‘rezeki’ yang dinantikan sejak tahun lalu. “Alhamdulillah, ini satu pencapaian besar untuk syarikat saya dan satu kejutan yang benar-benar bermakna,” katanya.

Konsert ini dijangka menarik perhatian ribuan peminat yang telah lama menanti peluang menyaksikan Akon secara langsung.

Dengan lagu-lagu hits seperti Lonely, Smack That, Right Now, dan I Wanna Love You, Akon telah mencipta nama besar dalam industri muzik global. Kekuatan dan keunikan vokalnya serta kemahiran berinteraksi dengan peminat menjanjikan pengalaman hiburan yang memukau.

“Saya percaya peminat di Malaysia dan Singapura akan sangat teruja menyaksikan persembahan Akon. Lagu-lagunya masih popular dan diputarkan hingga hari ini,” tambah Harris.

Selain daripada aspek hiburan, Jeeharris Entertainment turut mendapat sokongan kuat dari pelbagai rakan strategik untuk menjayakan acara ini. Astro Radio menjadi rakan media rasmi, dengan stesen seperti Era, Hits, Sinar Mix, dan Raaga turut mempromosikan konsert ini.

Di samping itu, Astro Gempak memainkan peranan sebagai rakan digital rasmi. Harris turut berterima kasih kepada penaja seperti El Car Rental dan Motivated Outreach yang menyediakan pengangkutan dan logistik untuk Akon, serta Munchies yang akan menaja sajian sepanjang konsert di Malaysia.

Harris juga mendedahkan bahawa penganjuran konsert ini hanyalah permulaan untuk Jeeharris Entertainment.

Beliau merancang untuk membawa lebih banyak artis antarabangsa ke Malaysia dan Singapura sepanjang tahun 2025, sekali gus menaikkan taraf syarikatnya ke tahap yang lebih tinggi dalam dunia penganjuran konsert.

“Setakat ini, Akon adalah artis antarabangsa pertama yang kami bawa. Insya-Allah, dengan sokongan semua pihak, kami akan terus membawa lebih ramai artis antarabangsa yang hebat pada masa hadapan,” ujarnya dengan penuh harapan.

Tiket untuk Akon The Superfan Tour Live akan mula dijual pada 18 September 2024 untuk pra-pendaftaran. Penjualan umum akan bermula pada 20 September.

Peminat di Malaysia boleh mendapatkan tiket di www.ticket2u.com, manakala peminat di Singapura boleh membuat pembelian di www.sistic.com.sg. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan bintang dunia ini secara langsung dalam konsert yang pasti memukau!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *