Sebuah naskhah menyentuh hati berjudul Dari Rahim Yang Sama bakal menemui penonton mulai 14 April 2025 menerusi slot Samarinda di TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam. Drama ini membawakan kisah menyayat hati yang mengangkat realiti kehidupan segelintir masyarakat marhaen yang terpinggir, sambil mengupas isu identiti, pengorbanan dan harapan untuk mengubah takdir.
Diarahkan oleh Amor Rizan dan hasil nukilan skrip oleh Naza Manas, drama terbitan Anomali Media ini menyajikan penceritaan yang penuh nilai kemanusiaan serta mesej yang mendalam. Ia dijangka mampu mencetus perbincangan tentang isu-isu sosial yang jarang diberi perhatian umum, seperti nasib anak-anak tanpa dokumen kelahiran sah dan pengabaian tanggungjawab ibu bapa.
Sinopsis Kisah Penuh Air Mata Dari Rahim Yang Sama mengisahkan perjalanan hidup Balqis (lakonan Mhia Firdaus), seorang remaja tabah yang memikul tanggungjawab besar menjaga dua orang adik lelakinya, Aqil (Rykarl Iskandar) dan Afiq (Rafique Iskandar), di tengah-tengah kesempitan hidup di Kuala Lumpur. Ketiga-tiga mereka adalah adik-beradik seibu namun tidak pernah didaftarkan kelahiran mereka, menyebabkan mereka terpinggir daripada sistem pendidikan dan kebajikan yang sepatutnya dinikmati.
Ibu mereka, Suraya (lakonan hebat Nabila Huda), seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai GRO dan hidup dalam dunia penuh kepalsuan, tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ibu. Sebaliknya, dia mempergunakan Balqis untuk mengurus rumah dan membesarkan adik-adik. Konflik memuncak apabila Suraya mengakui bahawa dia sengaja tidak mendaftarkan anak-anaknya kerana bimbang kehilangan mereka suatu hari nanti.

Barisan Pelakon Berkaliber Selain Nabila Huda dan Mhia Firdaus, drama ini turut dibintangi pelakon-pelakon berbakat besar seperti Rykarl Iskandar, Rafique Iskandar, Angeline Tan dan Kahoe Hon, yang berjaya menghidupkan naskhah ini dengan penuh emosi dan kejujuran.
Tontonan Eksklusif di Tonton Penonton juga boleh menonton Dari Rahim Yang Sama 24 jam lebih awal secara eksklusif di platform penstriman Tonton.
Untuk mendapatkan info terkini dan kandungan eksklusif drama ini, ikuti laman sosial rasmi TV3:
Facebook / Twitter / YouTube / Instagram: @TV3Malaysia
Instagram rasmi Drama Sangat: @dramasangat