Dalam suasana penuh keberkatan Ramadan dan kemeriahan Aidilfitri, Pusat Beli-belah Alamanda Putrajaya terus berpegang teguh pada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni anak-anak yatim dan kurang bernasib baik dari Yayasan Anak Yatim dan Kebajikan Murid Islam Semenyih (YAYAKEM).
Seramai 41 kanak-kanak berusia 9 hingga 12 tahun dijemput ke Alamanda untuk merasai pengalaman membeli-belah persiapan raya. Mereka memilih sendiri pakaian dan kasut raya baharu hasil tajaan rakan niaga seperti Bata. Selain itu, mereka turut menerima sumbangan duit raya daripada Alamanda dan TUCZ, menjadikan sambutan lebih bermakna.
Majlis ini turut diserikan dengan acara berbuka puasa bersama para media, tetamu kehormat, dan pengurusan Alamanda, mencipta suasana mesra dan penuh kasih sayang.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan, menegaskan bahawa Alamanda bukan sekadar pusat beli-belah, tetapi juga komited dalam membina semangat kebersamaan dalam komuniti. Melalui inisiatif ini, Alamanda ingin membawa keceriaan kepada kanak-kanak yang kurang berkemampuan agar mereka juga dapat menikmati kemeriahan Ramadan dan Syawal seperti rakan sebaya mereka.

Naib Yang Dipertua YAYAKEM, Encik Muhammad Hanafi Bin Jalalludin, turut menyampaikan penghargaan atas usaha murni ini yang memberikan kegembiraan kepada anak-anak YAYAKEM dalam menyambut Aidilfitri.
Selain inisiatif CSR, Alamanda turut menghidupkan kempen Hari Raya 2025 dengan dekorasi bertemakan Maghribi di Centre Court, dihiasi warna biru diraja dan emas yang menawan. Pengunjung boleh menikmati persembahan tarian Zapin dan Tarian Arab pada hujung minggu serta aktiviti ‘Moroccan Glass Painting’ eksklusif untuk ahli VIKids.

Sebagai ganjaran kepada pelanggan, pembelian bernilai RM700 ke atas akan menerima satu set Sampul Raya dan balang kuih kaca, manakala pembelian RM1,500 ke atas akan mendapat tambahan e-Baucar Alamanda bernilai RM50.
Kempen ini juga memberi sokongan kepada kesedaran kesihatan mental melalui jualan ‘Green Ribbon Pin’ sepanjang tempoh promosi. Untuk maklumat lanjut, layari www.alamanda.com.my atau ikuti Facebook Alamanda.