Sebanyak 20 lagu baharu daripada 20 band rock telah membuktikan semangat memperjuangkan genre muzik rock yang kukuh dalam jiwa setiap anggota band yang terlibat. Band-band tersebut termasuk MELISSABAND, ROOTS N BOOTS, LEMON T, THE ALIF FT MARIONEXXES, BAHTERA, MEDITASI, SONS OF ADAM, THE VOLTAGE, SENNA, X-TERNAL, ZUBIRA, KOROKODEL, CROSSOVER, BUMANTRA, THE FLOW, XNERGY, BURNTARA, EXIT, SPIT IT OUT TIME, dan MANUSIA.
Menariknya, kesemua lagu baharu ini dimuatkan dalam kompilasi album “ROCK NEVER DIES” yang diterbitkan oleh FGI Entertainment dan dipromosikan oleh Melissa Record. Album ini telah berada di pasaran sejak awal Jun dan dijual oleh setiap band yang terlibat. Hingga kini, album ini telah melepasi sasaran cetakan awal, dengan hampir 800 keping CD (beserta pendrive) terjual!
Sehubungan itu, satu majlis sidang media telah diadakan pada malam Ahad, 30 Jun 2024, untuk mengumumkan bahawa album “ROCK NEVER DIES” telah berada di tangan para peminat muzik rock tempatan. Majlis ini ditaja oleh Restoran Asam Pedas London, Bandar Baru Selayang, yang menyediakan lokasi dan hidangan. Majlis ini juga diserikan dengan kehadiran vokalis band gergasi Wings, Dato Awie, yang bertindak sebagai perasmi acara, serta wakil pemimpin DUN Taman Templer Selayang yang sentiasa menyokong perkembangan seni hiburan yang sihat dalam masyarakat.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato Awie meluahkan rasa terharu dapat hadir dan menyokong perjuangan muzik “ROCK NEVER DIES”. Beliau turut menzahirkan rasa bangga kerana acara ini turut disertai oleh individu yang telah lama dalam industri muzik seperti Abg Lord dan lain-lain. Beliau juga bersyukur dapat merealisasikan impian sahabat lamanya, Ajak Melissa, yang tidak pernah berputus asa meneruskan perjuangan muzik bersama Melissa Band, meskipun sering dilanda pelbagai isu dan kontroversi. Sebelum mengakhiri ucapannya, Dato Awie sempat menasihati pelapis baharu agar sentiasa fokus kepada matlamat dalam bidang muzik dan “kena rajin prektis”.
Majlis malam itu turut disertai semua anggota 20 band terlibat, termasuk dari negara jiran Singapura. Hampir 200 tetamu hadir termasuk jemputan khas dari kalangan pemain media selain pempengaruh media sosial yang sinonim dalam perjuangan muzik rock tanah air.
Di majlis yang sama itu juga, turut diumumkan KONSERT ‘ROCK NEVERDIES’ bakal diadakan pada 10 Ogos 2024 bertempat di WARISAN HALL STUDIO. Tiket dijual pada harga RM50 setiap satu. Tempahan tiket sudah boleh dibuat menerusi band- band yang bakal beraksi di pentas konsert hari berkenaan.