LATEST

Anak Ditolak, Kebenaran Disangkal: Nabila Huda Gegar Emosi Penonton dalam Dari Rahim yang Sama

Drama ‘Dari Rahim Yang Sama’ bakal menyentuh hati penonton melalui kisah yang penuh emosi dan mengangkat isu kehidupan sebenar sebahagian masyarakat yang terpinggir. Dengan tema pengorbanan seorang kakak, perjuangan untuk mengubah takdir dan pencarian identiti, naskhah ini menjanjikan sebuah jalan cerita yang mengangkat nilai kemanusiaan serta kasih sayang yang mendalam. Drama ini akan disiarkan di slot Samarinda bermula esok, 14 April 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam.

Diarahkan oleh Amor Rizan dan skripnya ditulis oleh Naza Manas, ‘Dari Rahim Yang Sama’ adalah terbitan Anomali Media yang dijangka akan memberikan impak yang mendalam pada penonton. Drama ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Mhia Firdaus, Rykarl Iskandar, Rafique Iskandar, Angeline Tan, dan Kahoe Hon yang akan membawa watak mereka dengan penuh emosi dan kesungguhan.

Cerita ini berfokuskan kehidupan Balqis (Mhia Firdaus), seorang gadis remaja yang tinggal di Kuala Lumpur bersama dua adik lelakinya, Aqil (Rykarl Iskandar) dan Afiq (Rafique Iskandar). Walaupun mereka bertiga adalah adik-beradik seibu, kelahiran mereka tidak pernah didaftarkan, dan tanpa sijil kelahiran yang sah, mereka terhalang daripada menjalani kehidupan normal seperti remaja lain.

Ibu mereka, Suraya (Nabila Huda), seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai GRO, sering bertukar pasangan dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Sebaliknya, dia bergantung kepada Balqis untuk menguruskan rumah tangga dan menjaga adik-adiknya, sementara dia bebas menikmati hidupnya.

Namun perjuangan Balqis penuh rintangan. Suraya tidak pernah memberi perhatian kepada permintaan anak sulungnya untuk mendapatkan pengiktirafan sah taraf. Ketegangan memuncak apabila Suraya mengakui bahawa dia sengaja tidak mendaftarkan anak-anaknya kerana takut Balqis akan meninggalkannya suatu hari nanti. Adakah ada peluang untuk kehidupan Balqis dan adik-adiknya berubah? Mampukah mereka mengatasi ujian yang dihadapi selama ini?

‘Dari Rahim Yang Sama’ bukan sekadar sebuah drama, tetapi juga sebuah platform untuk menceritakan isu sosial yang jarang dibincangkan, seperti nasib anak-anak yang tidak sah taraf dan pengabaian oleh ibu bapa. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama penuh emosi ini di slot Samarinda bermula esok, 14 April 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam. Anda juga boleh menonton tayangan awal 24 jam lebih awal secara eksklusif di platform Tonton.

Untuk info terkini mengenai drama ini, layari laman sosial TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.