Bersempena dengan kedatangan Aidilfitri kali ini, TV3 akan memaparkan dua dokumentari istimewa bertajuk Anugerah Istimewa dan Rindu Tanpa Penghujung. Kedua-dua dokumentari ini akan bersiaran pada malam Raya, pada pukul 9.00 malam (Anugerah Istimewa) dan pada pukul 11.00 malam (Rindu Tanpa Penghujung).
Penonton akan dibawa menyelusuri kehidupan ahli keluarga yang mempunyai anak-anak istimewa, autisme, menerusi Anugerah Istimewa. Dokumentari ini diterbitkan bersempena Bulan Kesedaran Autisme pada bulan April. Paparan khas ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap individu autisme. Justeru, ia akan menggalakkan semua warga Malaysia untuk lebih menitikberatkan tentang hal ini, bersifat empati dan bersama-sama membantu golongan istimewa ini demi keharmonian masyarakat.
Menerusi Anugerah Istimewa, penonton dapat melihat kisah dua buah keluarga yang dikurniakan anak istimewa. Kedua-dua buah keluarga daripada latar belakang berbeza ini menangani takdir kehidupan mereka dengan cara tersendiri. Keluarga pertama mengisahkan seorang bapa tunggal , Khairul Abdullah yang berusaha untuk membesarkan tiga anak lelakinya yang mempunyai kesulitan yang berbeza.Setiap seorang anaknya memberikan cabaran yang berbeza, anak sulungnya didiagnos autisme, ADHD serta masalah jantung. Anak keduanya mengalami isu psikiatri dan anak bongsunya disahkan ‘selective mutism’. Berlainan bagi keluarga Dayang dan suami, mereka dikurniakan dengan anak kembar lelaki yang didiagnos autisme ketika berusia 4 tahun dan anak bongsunya yang disahkan mengalami masalah pembelajaran. Dayang memilih untuk berhenti kerja demi menumpukan perhatian kepada anak-anaknya yang kini makin meningkat usia.
Selain itu, Rindu Tanpa Penghujung akan membawa penonton melangkau tragedi yang menyayat hati berkenaan pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam yang berlaku pada Ogos tahun lalu. Program ini akan menyelami lebih mendalam tentang pengalaman serta emosi keluarga mangsa sebelum, ketika dan selepas kemalangan itu berlaku. Perkongsian itu dizahirkan ketika jiwa mereka kini dicengkam rasa rindu tatkala diri terpaksa menyambut Aidilfitri kali pertama tanpa keberadaan insan tersayang. Antara ahli keluarga yang sudi berkongsi kisah ialah Nor Hikmah Muhammad Salleh yang kehilangan abangnya, Allahyarham Muhammad Hafiz Muhamad Salleh iaitu penunggang motosikal bagi perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) yang turut terjejas dalam insiden sama.
“Setiap kali menjelang Syawal, tentunya banyak kisah menyayat hati, suka dan duka yang kita dengar, tetapi tidak siapa yang tahu kesayuan hati yang ditanggung oleh keluarga terlibat.” Itulah bait-bait awal Fiza Sabjahan selaku hos Rindu Tanpa Penghujung.
“Ketika menjadi hos dokumentari ini, perasaan terharu dan tersentuh dapat dirasai kerana secara tidak langsung saya dapat menyelami emosi yang dialami oleh keluarga mangsa, seolah-olah saya berada di tempat mereka. Bagi keluarga terjejas, sambutan Aidilfitri pastinya tidak akan sama seperti sebelum ini. Berdasarkan penceritaan yang dikongsikan, boleh saya simpulkan bahawa keluarga merupakan aset yang terbesar dalam kehidupan yang harus kita hargai; dan jika sesuatu berlaku di luar jangka, seseorang itu perlu berdamai dengan takdir kerana setiap lorong yang gelap pasti ada cahaya dihujung,” tambah Fiza Sabjahan lagi.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton dokumentari khas ini yang semestinya memberi manfaat dan iktibar kepada semua pada 9 April 2024 di TV3, pukul 9.00 malam (Anugerah Istimewa) dan 11.00 malam (Rindu Tanpa Penghujung). Anda juga boleh strim secara HD selepas satu jam bersiaran di kaca televisyen melalui www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & X di @TV3Malaysia.