‘Only With You’ : Aqmal Ramdan Lancar Lagu Baru – 2024

only with you

Aqmal Ramdan, bintang muda yang mula mencuri tumpuan melalui program realiti nyanyian “Terpaling Juara” di TV3, kini melangkah lebih jauh dalam kerjaya seninya dengan pelancaran single solo pertama bersama Alternate Records berjudul “Only With You.”

Menariknya, lagu ini juga telah dipilih sebagai runut bunyi (OST) bagi drama bersiri popular “Dulu Dollah Daebak,” yang sedang bersiaran di slot Akasia TV3 setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam.

“Only With You” merupakan single solo pertama Aqmal bersama Alternate Records, susulan daripada kejayaan single terdahulunya, “Seindah Kasih,” yang mendapat sambutan hangat di YouTube dan stesen radio.

Aqmal, yang juga berbakat dalam bidang lakonan, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya terhadap karya terbaharunya ini yang bertemakan cinta. Lagu yang diterbitkan oleh komposer terkenal Omar K ini menggabungkan genre pop dengan sentuhan elemen retro ala 80-an yang cukup mengasyikkan.

Dengan suara merdu yang dimilikinya, Aqmal berjaya menghidupkan setiap bait lirik dengan penuh penghayatan. “Saya sangat teruja dengan lagu ini! Ia betul-betul menepati citarasa saya,” kata Aqmal dengan penuh semangat.

“Only With You” mengisahkan seorang jejaka yang terpukau dengan kecantikan seorang gadis, seolah-olah jatuh cinta pada pandangan pertama. Lagu ini menggambarkan bagaimana cinta boleh menjadi penawar kesepian dan melengkapkan kehidupan seseorang.

Aqmal turut berkongsi bahawa lagu ini benar-benar mencerminkan jiwanya dan memberikan pengalaman yang sukar dilupakan. Proses rakaman yang berjalan lancar memberikan cabaran tersendiri, “Lagu ini mempunyai tempo yang agak laju, jadi saya perlu memastikan mood saya sentiasa ceria supaya dapat menyampaikannya dengan baik.

Ini adalah sesuatu yang baharu berbanding lagu-lagu saya sebelum ini. Namun, dengan bimbingan Omar K, banyak ilmu baharu yang saya pelajari, dan saya sangat berharap untuk dapat bekerjasama lagi dengannya di masa hadapan,” tambah Aqmal.

Aqmal juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang setia menyokong karya-karyanya. “Saya berharap semua orang dapat menerima lagu ini dengan hati yang terbuka dan mendengarkan ‘Only With You’ kerana mungkin lagu ini boleh menceriakan mood atau hari anda,” ujarnya penuh harapan.

Omar K turut memuji keunikan ton suara Aqmal yang dianggap sangat istimewa dan sesuai untuk lagu-lagu seperti ini. “Aqmal mempunyai alunan suara yang merdu dan gemersik.

Tona suara serak-serak basahnya mampu membuat hati pendengar terbuai dengan keasyikan lagu ini,” katanya. Omar K juga menyatakan bahawa Aqmal sangat profesional semasa rakaman, sentiasa memberi kerjasama yang baik dan bersedia mengulangi mana-mana ‘take’ rakaman tanpa sebarang masalah, sambil mengekalkan prestasi vokal yang mantap sehingga sesi rakaman tamat.

Dalam pembikinan “Only With You,” Omar K berkongsi tentang mesej yang ingin disampaikan melalui lagu ini. “Cinta adalah sesuatu yang menyerikan dan melengkapkan hidup setiap insan.

Dunia pastinya akan menjadi lebih berwarna-warni dengan kehadirannya, manakala tanpanya, ia hanya menjadi gelap dan sepi,” katanya. Omar K berharap agar lagu ini dapat menonjolkan bakat sebenar Aqmal dalam dunia muzik serta menyampaikan perasaan nostalgia melalui lirik yang menyentuh hati. Beliau yakin bahawa nyanyian Aqmal akan memikat hati pendengar dan penonton drama romantik komedi “Dulu Dollah Daebak.”

Jangan lepaskan peluang untuk mendengarkan “Only With You” nyanyian Aqmal Ramdan yang kini sudah boleh didengari di semua aplikasi dan platform penstriman dalam talian.

Jangan ketinggalan menyaksikan kisah romantik komedi “Dulu Dollah Daebak” arahan Eoon Shuhaini, yang menampilkan barisan pelakon popular seperti Sean Lee, Sharifah Rose, Riena Diana, Syazuwan Hassan, dan ramai lagi, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3. Anda juga boleh menontonnya 24 jam lebih awal melalui aplikasi Tonton atau di laman web www.tonton.com.my.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti akaun rasmi mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *