Astro Ria Hidangkan Tiga Drama Baharu Disember Ini!

Astro terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat hiburan terbaik di Malaysia dengan membawa tiga drama baharu yang dijangka akan memikat hati penonton sepanjang bulan Disember ini. Bermula dengan Ofis Politik pada 4 Disember, diikuti oleh Rahsiamu Selamat Denganku pada 9 Disember, dan berakhir dengan Curang Tanpa Niat pada 23 Disember, Astro Ria (104) akan mempersembahkan pelbagai genre drama yang penuh dengan kejutan.

Raqim Ahmad, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu di Astro, menyatakan kegembiraannya mengenai pelancaran tiga drama baharu ini, yang masing-masing menawarkan jalan cerita dan tema unik. “Kami teruja untuk mengumumkan tiga drama yang pasti akan disukai oleh penonton. Setiap drama ini dicipta khas untuk memenuhi citarasa pelbagai golongan penonton. Kejayaan ini adalah hasil usaha keras daripada rakan produksi dan barisan pelakon yang memberikan lakonan terbaik mereka,” katanya. Beliau juga berharap bahawa drama-drama ini akan menjadi pilihan utama penonton dan menutup tahun 2024 dengan penuh makna.

Drama pertama yang bakal mengisi slot Dramavaganza ialah Ofis Politik, yang mengisahkan sekumpulan penjawat awam yang berprestasi rendah dan dipindahkan ke Jabatan Perantaraan, sebuah jabatan yang tidak mempunyai fungsi jelas. Mereka dipimpin oleh Encik Abdullah Abdullah (Rashidi Ishak), yang berusaha membuktikan bahawa jabatan tersebut perlu diteruskan. Drama komedi romantik ini berdurasi 16 episod dan turut menampilkan Erysha Emyra dan Syafi Tee sebagai pelakon utama. Ofis Politik adalah hasil kerjasama dengan KL Motion Pictures Sdn Bhd dan diarahkan oleh Wan Hasliza dan Wan Alauddin.

Seterusnya, Rahsiamu Selamat Denganku membawa penonton ke dunia jenayah romantik dengan kisah tentang dua profesor, Hana dan Rafel, yang menyimpan rahsia dan obsesi masing-masing. Mereka secara tidak sengaja jatuh cinta ketika menangani masalah yang timbul akibat aplikasi “Live or Die” (LOD) di kalangan pelajar mereka. Drama ini mempertemukan gandingan baru Siti Khadijah Halim dan Alvin Chong, dan merupakan hasil kerjasama antara MS Orange Solutions Sdn Bhd dan Blimey dari Korea, di bawah arahan Jade (Blimey) dan Faliq Sharif. *Rahsiamu Selamat Denganku* juga mempunyai 16 episod.

Akhir sekali, Curang Tanpa Niat mengangkat tema lebih berat mengenai pergelutan seorang isteri bernama Elina yang berdepan dengan kecurangan suaminya, Eshaal, di tempat kerja. Drama ini mengisahkan tentang ketidaksetiaan, konflik dalam keluarga, dan cabaran dalam menjaga batasan dalam hubungan profesional. Dibintangi oleh Shukri Yahaya, Mira Filzah, dan Sharifah Sakinah, drama ini disiarkan dalam 32 episod dan diterbitkan oleh iFabulous Art Media & Event Sdn Bhd (iFAME), serta diarahkan oleh Eyra Rahman.

Semua drama ini juga boleh distrim menerusi Astro On Demand, Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO, dan sooka, memberikan pilihan tontonan yang lebih fleksibel kepada penonton. Bagi mereka yang ingin melanggan, Astro menawarkan tawaran masa terhad dengan harga serendah RM41.99 sebulan dan pemasangan percuma. Untuk maklumat lanjut, layari astro.com.my.

*Terma dan syarat dikenakan.

1) Info Drama ‘Ofis Politik’

Produksi : KL Motion Pictures Sdn Bhd

Info siaran : Bermula 4 Disember 2024, setiap hari Rabu dan Khamis, jam 9 malam

Sinopsis: 

‘Ofis Politik’ adalah sebuah komedi tentang sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan oleh Datuk Harun untuk menyelewengkan duit. Namun selepas Datuk Harun meninggal dunia, rancangannya terbantut dan agensi itu terpaksa diisi dengan pekerja-pekerja kurang berprestasi dari kerajaan Bandar Mega. Encik Abdullah Abdullah, seorang yang malas bekerja, dilantik sebagai ketua pengarah dan melantik Zain untuk menguruskan Jabatan Perantaraan yang terdiri daripada pekerja-pekerja pelik dan bermasalah seperti Kursyia yang putus harapan, Kak Rosemarry yang ada agenda tersembunyi, Nessi yang ketagih media sosial, Ehsan yang beristeri dua, Mawar yang berkira, dan Zohri yang mudah marah.

2) Info Drama ‘Rahsiamu Selamat Denganku’

Produksi : MS Orange Solutions & Blimey

Info siaran : Bermula 9 Disember 2024, setiap hari Isnin dan Selasa, jam 11 malam

Sinopsis: 

Seorang peminat K-pop, Profesor Hana yang jatuh cinta dengan seorang profesor macho bernama Rafel yang menyembunyikan sisi ‘geeky’-nya. Bersama-sama, mereka berusaha menumpaskan pencipta aplikasi ‘Live or Die’ (LOD). Dalam menyelesaikan masalah ini, mereka belajar untuk menerima diri mereka seadanya sambil membina hubungan yang penuh keraguan.

3) Info Drama ‘Curang Tanpa Niat’ 

Produksi : iFabulous Art Media & Event Sdn Bhd (iFAME)

Info siaran : Bermula 23 Disember 2024, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam

 Sinopsis: 

‘Curang Tanpa Niat’ memaparkan keharmonian sebuah keluarga yang retak kerana si suami mempunyai ‘office wife’ di pejabatnya. Patutkah Elina sebagai seorang isteri yang sah bertahan dengan semua ini?