Bateriku.com dengan bangganya melancarkan Akademi Bateriku yang telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, di TTDI Jaya, Shah Alam. Majlis perasmian ini menandakan langkah penting dalam usaha Bateriku.com untuk memperkasakan tenaga kerja mahir dalam industri automotif dan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, selaras dengan matlamat negeri Selangor untuk mempromosikan pembangunan ekonomi hijau dan lestari.
Majlis pelancaran yang dihadiri oleh lebih 120 tetamu jemputan, termasuk wakil-wakil dari Invest Selangor, MBSA, MIDA, MARA Selangor, dan pelbagai agensi lain, menyaksikan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor menandatangani plak perasmian. Acara ini turut diserikan dengan tayangan video dan infografik yang memperincikan perjalanan dan pencapaian Bateriku.com serta inisiatif baharu mereka.
Ditubuhkan pada Mac 2014, Bateriku.com merupakan syarikat milikan Bumiputera yang menawarkan perkhidmatan “Connected Roadside Assistance” (Bateri, ‘Breakdown’ & Bengkel) kepada lebih daripada 1.5 juta pemilik kenderaan. Akademi Bateriku, sebagai subsidiari Bateriku.com, telah menerima pentauliahan penuh pada tahun 2023 daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Program Penilaian Amali (PPA-PPT) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Akademi ini bertujuan melatih ekosistem Bateriku.com, rakan-rakan industri, golongan belia, dan komuniti melalui program latihan jangka masa pendek dan komprehensif.
Rakan-rakan industri yang turut terlibat termasuk Kementerian Belia & Sukan Malaysia (KBS), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), GIAT MARA, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), dan Petronas AutoExpert.
Setakat ini, Akademi Bateriku telah melatih hampir 1,500 juruteknik mobil bergerak (BHero), melahirkan 78 usahawan (BPreneur), dan lebih daripada 500 mekanik di seluruh Malaysia. Modul-modul latihan disediakan dari tahap 2 hingga tahap 4, merangkumi kenderaan ICE (Petrol, Diesel), Hybrid, dan EV.
YAB Dato’ Seri Amirudin dalam ucapannya menyatakan bahawa penubuhan Akademi Bateriku adalah sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan berkualiti tinggi dalam bidang automotif dan tenaga hijau. Beliau menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuhkan ekonomi negeri serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor.
Akademi Bateriku bukan sahaja berfungsi sebagai pusat latihan kemahiran, tetapi juga menyediakan platform untuk usahawan muda melalui program BHero dan BPreneur. Inisiatif ini bertujuan melahirkan generasi baru usahawan dalam industri automotif, menyokong kemampanan alam sekitar melalui program kitar semula bateri terpakai dan mengurangkan jejak karbon.
Selain majlis perasmian, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor turut diberi peluang untuk melawat kemudahan di Bateriku Garage (BGarage) dan meluangkan masa bersama tenaga pelatih, usahawan BPreneur, dan juruteknik mobil bergerak BHero.
Bateriku.com berharap Akademi Bateriku akan menjadi pencetus perubahan besar dalam industri automotif Malaysia, terutamanya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.