Dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan kerjasama Kumpulan My Creative Ventures, DENNSA serta SENSORHYTHM akan menganjurkan Battle of Time Exists X Masdo, yang dijadual berlangsung pada 10 November 2024, pukul 8 malam, di Dewan Merdeka, WTCKL.
Bangkitkan kembali zaman nostalgia dengan melayari semula masa lalu melalui rangkaian lagu-lagu malar segar yang pernah dihasilkan oleh pemuzik terhebat dalam industri muzik tempatan. Ini merupakan peluang ‘pulang ke masa silam’ yang tidak patut dilepaskan.
Pemilihan tajuk Battle of Time sendiri membawa makna mendalam, mencerminkan peralihan masa yang pernah dilalui oleh kugiran legenda seperti Exists dan bagaimana mereka mempengaruhi perjalanan muzik generasi baharu seperti Masdo.
Kehadiran dua kugiran besar ini, yang telah menakluki hati peminat hingga ke Indonesia, menjanjikan pengalaman unik. Bukan sekadar hiburan, konsert ini juga akan memberikan peminat pemahaman yang lebih mendalam tentang kehebatan karya pengkarya tempatan.
“Seperti yang diketahui, Exists adalah kugiran legenda yang lagunya telah menjadi siulan dari generasi Millennial hingga generasi Alpha. Lagu-lagu seperti Oh Ibu, Julia, dan Langkah Seiringan, yang telah dihasilkan lebih sedekad lalu, kini trending semula di TikTok,” kata Dewi dari Dennsa, penganjur konsert ini.
Beliau menambah, “Ini membuktikan karya Exists tetap relevan meskipun zaman berubah, dan itulah sebabnya kami dengan bangga membawa Exists ke dalam Battle of Time Exists X Masdo. Masdo pula telah mencipta fenomena tersendiri dengan aura muzik retro mereka yang digemari peminat muzik Nusantara.”
Konsert ini dijangka menggabungkan kedua-dua kugiran ini dalam satu pentas, di mana mereka akan menyajikan deretan lagu hit yang diberi sentuhan baharu. Dewan Merdeka, WTCKL dipilih sebagai lokasi konsert ini, menjanjikan pengalaman yang memukau dengan susunan muzik yang diperbaharui.
Putu Ceri dari Masdo turut meluahkan rasa teruja: “Kami sangat berbesar hati untuk berkongsi pentas dengan Exists, kerana lagu-lagu mereka sering kami nyanyikan ketika remaja. Walaupun genre kami berbeza, tema Battle of Time adalah signifikan, terutama dengan aliran pop 60-an yang dibawa oleh Masdo.”
Para peminat boleh mendapatkan tiket dalam beberapa kategori termasuk DIA PERTAMA (RM159), LEMPENG TWIST (RM199), ANUGERAH HATI (RM219), BUNGA CEMARA (RM299), TERUNA JUWITA (RM399), BIDADARI PUJAANKU (RM599), dan UNTUKMU PUSPITA ROYAL BOX (RM789).
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan yang menggabungkan era klasik dan moden ini. Tiket boleh didapati melalui MYTICKET.COM dan ATOME. Sampai jumpa di Battle of Time!