‘Cahaya Mata’ Karya Istimewa Ikhwan Fatanna Raikan Kehadiran Bayi Sulung

Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Ikhwan Fatanna, dengan bangganya mempersembahkan karya terbaharu berjudul “Cahaya Mata”.

Lagu ini diilhamkan khas sempena kelahiran anak sulungnya, seorang bayi lelaki yang diberi nama Yusuf Musa Mohamad Fatanah, yang dilahirkan pada 17 September yang lalu. Dalam lagu ini, Ikhwan bukan sahaja menyuarakan rasa gembira dan kasih sayang, tetapi juga merakamkan momen-momen penuh makna yang hadir bersama kelahiran insan baru yang membawa sinar baharu dalam hidupnya dan isteri tercinta.

“Cahaya Mata” merupakan cerminan kasih sayang, pengharapan, dan rasa syukur yang mendalam terhadap kehadiran anak. Lirik yang ditulis dengan penuh kejujuran menggambarkan perasaan cinta dan tanggungjawab yang dirasai oleh Ikhwan sebagai seorang bapa. Melodi lagu ini lembut dan puitis, membangkitkan suasana intim dan damai, menjadikannya lagu yang sesuai didengari oleh setiap keluarga.

Ikhwan menjelaskan bahawa kelahiran cahaya matanya telah mengubah pandangan dan perspektifnya mengenai kehidupan secara keseluruhan. “Saya ingin berkongsi perasaan yang tidak terucap ini melalui lagu ‘Cahaya Mata’, sebagai tanda penghargaan untuk momen yang cukup indah yang saya dan isteri lalui,” katanya. Dia percaya bahawa lagu ini bukan sahaja untuk ibu bapa, tetapi juga untuk sesiapa sahaja yang merasai keajaiban kasih sayang dalam sesebuah keluarga.

Menceritakan lebih lanjut, Ikhwan mengungkapkan bahawa idea untuk lagu ini muncul ketika isterinya mengandung lima bulan. “Ketika itu, saya merasakan kegembiraan dan kesyukuran yang mendalam. Oleh kerana saya terlalu gembira, saya mahu terjemahkan rasa itu ke dalam sebuah lagu,” ujarnya. Awalnya, Ikhwan merancang untuk menyimpan lagu tersebut sebagai kenangan peribadi, tetapi setelah mendengar pendapat isterinya yang menganggap lagu tersebut menarik, dia mengambil keputusan untuk berkongsi karya ini dengan orang ramai.

Ikhwan berharap agar lagu “Cahaya Mata” dapat menghiasi setiap keluarga dengan elemen kebahagiaan dan rasa syukur yang terdapat dalamnya. “Perasaan ini adalah luar biasa apabila dikurniakan cahaya mata. Saya terjemahkan perasaan ini dalam lagu dan berharap agar lagu ini mendapat sambutan yang baik daripada semua. Saya ingin pendengar menikmati keindahan dan emosi yang terkandung dalam lagu ini,” tambahnya.

Lagu ini akan dilancarkan pada 18 Oktober 2024, bersamaan dengan genap sebulan usia anaknya, menjadikannya momen yang sangat istimewa bukan sahaja untuk Ikhwan tetapi juga untuk semua keluarga yang telah menyaksikan keajaiban kelahiran anak. “Pelancaran lagu ini pada 18 Oktober juga bertepatan dengan genap sebulan usia cahaya mata saya. Ini menjadikan lagu ini sangat istimewa, bukan hanya untuk dia tetapi juga untuk semua cahaya mata yang lain, insya-Allah,” katanya.

Ikhwan menambahkan bahawa dia bersyukur atas kurniaan Allah yang membolehkannya membina sebuah keluarga bahagia. “Sekiranya Allah memberi rezeki ini lagi, saya tidak akan menolak dan akan sangat berbahagia dengan anugerah ini. Untuk saya, tidak ada lagi yang ingin saya kejar kerana impian saya selama ini adalah untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya keluarga yang bahagia, dan saya berdoa agar dapat terus membawa kebahagiaan hingga ke akhirat,” ujarnya.

Lagu “Cahaya Mata” terbitan syarikat rakaman Nova Music akan mula distrim di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music pada 18 Oktober 2024. Di samping itu, siaran perdana video muzik lagu tersebut juga akan berlangsung di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama, tepat jam 3 petang. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan momen indah ini dan ikuti pautan di sini https://youtu.be/Cc8EkT-Qw4k.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *