“CINTA SETANDAN PISANG” DIRAKAM DALAM DIALEK KELANTAN !

Peminat muzik dari luar Kelantan mungkin tidak biasa dengan nama Eda Ezrin dan Den Manjo. Namun, bagi penggemar lagu dialek atau loghat Kelantan, Eda Ezrin dan Den Manjo adalah antara penyanyi terbaik di Pantai Timur.

Lagu “Cinta Setandan Pisang”, yang dicipta oleh komposer terkenal Eddie Hamid dan ditulis oleh Mama Ana dan Fadhil Turbo dan diterbitkan oleh Kijang Music, telah menampilkan pasangan duet yang hebat ini. Walaupun lagu itu dirakam dalam dialek Kelantan, ia menjadi sangat popular apabila dimainkan di stesen radio nasional negara seperti ERA FM, SURA FM dan NASIONAL FM! Sebelum dipasarkan lagi, lagu tersebut adalah FYP di TikTok. Video muzik rasminya, yang dimuat naik ke YouTube, telah mencapai lebih 900,000 tontonan dalam masa hanya satu bulan!

Ini bukanlah kali pertama Eda Ezrin dan Den Manjo berkolaborasi kerana mereka pernah bekerjasama sebelum ini menerusi lagu “Adik Jando Abe Duo” yang mencapai 16 juta tontonan di YouTube.

Menurut Eddie, beliau mengambil masa selama sebulan untuk menghasilkan lagu yang berentak ‘Etnik Pop Kontemporari’ ini. Meskipun kedua-dua mereka pernah bergandingan sebelum ini, namun “Cinta Setandan Pisang” merupakan lagu pertama mereka yang dicipta dan diterbitkan  Eddie Hamid.

Eddie ada sebab mengapa memilih Eda Ezrin dan Den Manjo untuk menyanyikan lagu ciptaan terbarunya itu. 

“Orang luar dari Kelantan mungkin tak kenal mereka tapi di sebelah Pantai Timur, nama kedua-dua mereka ini berada di tangga teratas. Disebabkan populariti mereka itulah saya memilih mereka untuk menyanyikan lagu terbaru ciptaan saya. 

“Mereka mempunyai suara yang baik khususnya untuk lenggok lagu dialek Kelantan. Alhamdulillah, percubaan pertama Kijang Music untuk menampilkan mereka berdua mendapat sambutan baik penggemar muzik di seluruh negara . 

“Lagu “Cinta Setandan Pisang” antara lagu yang paling viral kini dan dalam masa dua minggu sahaja lagu ini telah trending di beberapa platform popular termasuk YouTube dan TikTok,” kata Eddie yang mengambil masa seminggu untuk menyiapkan proses pembikinan lagu ini yang dirakam di studio K Seventh, Kota Bharu, Kelantan.

Tambahnya lagi, lagu “Cinta Setandan Pisang” ini berkisar tentang manusia yang sejak azali bukanlah insan yang sempurna.

“Kita selalu dengar peribahasa ‘pisang tak berbuah dua kali’ atau ‘dalam setandan pisang, pasti ada yang buruk’. Begitu jugalah dengan kehidupan manusia, dalam sesebuah keluarga, pasti ada yang kurangnya.“Lagu ini membawa maksud dalam setandan pisang itu bukanlah semuanya buruk dan begitu juga dengan situasi manusia yang sedang dilambung cinta atau hubungan antara suami isteri, sebaik mana pun hubungan mereka, mesti ada sedikit kekurangannya,” jelasnya. 

Eddie selaku Pengarah Urusan Kijang Music berkata beliau mahu mengetengahkan lagu-lagu dialek Kelantan ke peringkat arus perdana kerana percaya lagu-lagu sedemikian mampu mendapat tempat di hati pendengar muzik seluruh negara.

Beliau yakin lagu-lagu sebegitu dapat diterima ramai kerana orang-orang Kelantan sendiri berada di setiap pelosok negara.   

Sementara itu, Eda Ezrin atau nama sebenarnya, Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 29, dan Den Manjo atau Mohd Hafizudin Md Yusof, 27, melahirkan rasa bertuah kerana diberi kepercayaan Eddie untuk merakam lagu “Cinta Setandan Pisang”.    

“Ini adalah idea abang Eddie untuk saya berduet sekali lagi dengan Eda Ezrin. “Cinta Setandan Pisang” merupakan  lagu ketiga saya berduet dengan Eda Ezrin.”

“Tak ada masalah sewaktu dalam studio kerana ini bukan kali pertama saya dan Eda menyanyi bersama. Semuanya berjalan lancar dengan bimbingan dan tunjuk ajar daripada abang Eddie. Kami ambil masa sejam lebih saja untuk selesaikan proses  rakaman,” kata Den Manjo yang juga aktif sebagai penyanyi Dikir Barat.

Den Manjo, anak ketujuh daripada lapan beradik yang berasal dari Kampung Palekbang, Tumpat, Kelantan itu mula menyanyi dari sekolah rendah. 

“Mula-mula saya nyanyi lagu Nasyid, masuk sekolah menengah masih nyanyi lagu Nasyid juga. Saya mula sertai Dikir Barat sewaktu di tingkatan empat sehinggalah sekarang. 

“Untuk memartabatkan seni, saya akan terus perbaiki diri kerana saya nak pupuk semangat di kalangan anak-anak Pantai Timur agar jangan memandang rendah pada Dikir Barat,” katanya yang juga merupakan peminat irama Dangdut dan Koplo. 

Sementara itu, Eda Ezrin, anak pertama dari empat beradik yang berasal dari Kampung Perol, Kota Bahru, Kelantan itu mula menyanyi sejak berusia 12 tahun. 

“Memandangkan saya adalah penyanyi bebas tanpa sebarang ikatan dengan mana-mana syarikat rakaman, saya boleh berduet dengan sesiapa saja asalkan serasi. Setakat ini, hampir semua lagu dendangan saya adalah dalam loghat Kelantan”. 

“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bekerjasama dengan abang Eddie. Kalau ada rezeki, saya harap lagu “Cinta Setandan Pisang” bukan setakat popular di kalangan peminat Pantai Timur saja, kalau boleh biarlah lagu itu memasuki pasaran arus perdana juga,” katanya penuh harapan. 

Lagu “Cinta Setandan Pisang” kini boleh distrim di semua perkhidmatan penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, Deezer dan KKBox. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Kijang Music https://youtu.be/Pg1TcU82vwI?si=1gMVHYCXwunFzTtT 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *