Selepas dua tahun menyepi dari dunia muzik, penyanyi dan pelakon versatil, Diana Danielle, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Raja Dusta”. Lagu yang sarat dengan keberanian dan sindiran sinis ini membawa mesej mendalam tentang pembebasan diri daripada hubungan toksik dan manipulatif.
Menurut Diana, karya ini terinspirasi daripada realiti yang dihadapi ramai wanita sering terperangkap dalam budaya misoginis yang menyebabkan penderitaan secara senyap. Dengan rentak rancak dan lirik yang tajam, “Raja Dusta” menjadi ruang untuk wanita (dan juga lelaki) meraikan kekuatan serta keberanian mereka selepas melepasi fasa hubungan yang tidak sihat.
Diana turut menegaskan bahawa walaupun lagu ini digarap dari perspektif seorang wanita, mesejnya bersifat universal dan boleh dikaitkan oleh sesiapa sahaja. Ia bukan ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus, sebaliknya sebagai peringatan kepada semua agar tidak mudah percaya kepada kata-kata manis jika tindakan tidak selari dengan janji.

Lebih menarik, proses rakaman lagu ini menjadi pengalaman baharu buat Diana apabila beliau bekerjasama buat pertama kalinya dengan penerbit tersohor, John Jeeves. Meskipun awalnya berasa sedikit kekok kerana sudah lama tidak mengeluarkan lagu baharu, Diana mengakui sokongan padu daripada pasukannya termasuk Universal Music, kru produksi, serta para penari memberi keyakinan semula untuk kembali aktif dalam dunia muzik.

Muzik video “Raja Dusta” turut mencerminkan semangat kebebasan yang ingin disampaikan Diana. Dengan penggambaran yang melibatkan pelbagai lokasi menarik dan elemen tarian bertenaga di Palm Garden Hotel, Putrajaya, Diana menyifatkan pengalaman tersebut sebagai mencabar namun amat menyeronokkan dan membuka ruang untuk keluar dari zon selesanya.
Bagi Diana, lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata. Ia juga merupakan suara kepada mereka yang pernah atau sedang melalui detik sukar dalam hubungan, agar terus kuat dan menghargai keberanian diri. Beliau berharap lagu ini dapat menjadi teman semasa memandu, ketika bersantai atau bahkan saat mandi — sebagai simbol meraikan kebebasan dan penyembuhan diri.
Single “Raja Dusta” kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox bermula 18 April 2025. Muzik videonya pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Diana Danielle. Saksikan sendiri sisi baharu Diana berani, lantang dan menginspirasikan ramai dalam karya yang penuh dengan semangat serta kejujuran ini.