Filem aksi yang paling ditunggu-tunggu tahun ini, Blood Brothers, bakal menggegarkan pawagam bermula 10 April 2025. Namun, sebelum tayangan rasmi, gelombang kehangatan filem ini sudah mula dirasai menerusi siri jelajah eksklusif di bazar-bazar terpilih, mencipta fenomena di kalangan peminat.
Terbaru, Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2025 (ABXFGR’25) di MITEC, Kuala Lumpur, menjadi destinasi ketiga selepas kejayaan luar biasa di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri Cheras dan Bazar Ramadan Presint 14, Putrajaya. Sambutan di MITEC sungguh luar biasa. Ribuan peminat membanjiri lokasi untuk berpeluang bertemu dengan bintang utama filem ini, antaranya Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, dan ramai lagi.

Absolut Bazaar tidak sekadar menawarkan pengalaman membeli-belah, tetapi turut menyajikan pelbagai aktiviti yang menceriakan suasana. Dari permainan pentas yang mencetuskan gelak tawa hingga persembahan bertenaga oleh Muzza, segalanya menambah keterujaan. Namun, kemuncak acara pastinya tayangan sedutan eksklusif Blood Brothers yang membuatkan penonton terpaku dan semakin tidak sabar menantikan tayangan penuh.
“Kami sangat teruja dan bersyukur melihat sokongan hebat daripada peminat. Blood Brothers bukan sekadar filem aksi, tetapi kisah penuh emosi, konflik, dan persaudaraan yang mendalam,” kata Sharnaaz Ahmad.

Diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios, filem ini membawa aksi berkualiti tinggi dan jalan cerita penuh ketegangan. Dengan gabungan pelakon hebat dan sentuhan sinematik bertaraf antarabangsa, Blood Brothers berpotensi menjadi filem aksi tempatan paling epik tahun ini.
Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2025 sendiri merupakan festival perayaan terbesar di MITEC, menampilkan lebih 700 vendor dan menyasarkan 2 juta pengunjung. Mini Absolut FoodFest turut menyemarakkan suasana dengan lebih 80 vendor makanan dan minuman, menawarkan pelbagai juadah berbuka dan sahur. Acara ini turut dimeriahkan oleh selebriti terkenal seperti Uqasha Senrose, Aprena Manrose, Awal Ashaari, De Fam, Nadeera Zainal, Hael Husaini, Johan Ghazali, Ziana Zain, dan ramai lagi. Festival ini berlangsung selama 66 jam tanpa henti dari 21 hingga 24 Mac 2025.

Siri jelajah Blood Brothers masih belum berakhir. Peminat boleh menjangkakan lebih banyak kejutan di lokasi seterusnya sepanjang Ramadan. Jangan lepaskan peluang untuk menyertai kemeriahan ini dan nantikan tayangan rasmi Blood Brothers di pawagam bermula 10 April 2025.
Untuk kemas kini terkini dan kandungan eksklusif, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube.