“Dato’ Aishah Hidupkan Semula Karya Klasik Di Pinggir Kayangan”

Dato’ Aishah Menghidupkan Semula Lagu “Di Pinggir Kayangan”, Nyanyian Asal Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Merakamkan semula lagu-lagu klasik yang pernah dipopularkan oleh artis-artis legenda adalah perkara biasa. Ramai penyanyi di seluruh dunia sering melakukan ini kerana lagu-lagu lama mempunyai irama yang kekal relevan. Dengan nafas baharu, lebih ramai generasi muda dapat menghargai karya-karya emas ini.

Namun, tidak semua penyanyi baharu berjaya menjadikan lagu-lagu rakaman semula sebagai karya yang mudah diingati. Ada yang gagal dan tidak dikenali, sementara ada yang berjaya mencuri perhatian. Hanya beberapa penyanyi hebat sahaja yang mampu menghidupkan semula karya-karya lama ini.

Salah seorang yang ingin melakukan ini adalah penyanyi senior Malaysia dengan vokal yang luar biasa, Dato’ Aishah. Pernah menembusi pasaran antarabangsa bersama kumpulan The Fan Club, Dato’ Aishah kini kembali dengan rakaman semula lagu “Di Pinggir Kayangan” yang pernah dinyanyikan oleh biduanita negara, Datuk Sharifah Aini.

“Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya sangat meminati suara beliau dan pernah berpeluang berkongsi pentas yang sama dengan arwah. “Di Pinggir Kayangan” adalah sebuah lagu cinta yang mempunyai semangat positif dan gembira serta lenggok kemelayuan yang sangat merdu,” kata Dato’ Aishah sambil menjelaskan mengapa beliau memilih lagu ini untuk dirakam semula.

“Lagu-lagu seperti “Di Pinggir Kayangan” adalah sebuah lagu yang harus diperkenalkan semula kepada generasi baru. la begitu bermakna buat saya kerana ia mengingatkan saya kepada idola saya tersebut,” tambahnya lagi. Oleh kerana ia merupakan rakaman semula dengan nafas baharu, terdapat beberapa perbezaan ketara dalam versi Dato’ Aishah.

“Akan kedengaran kelainan dari segi susunan muzik dan sudah semestinya suara saya berbeza dari suara penyanyi asal. Lagu juga dirakamkan dalam nota yang lebih tinggi sedikit berbanding dengan yang asal,” katanya tentang versi baharu lagu tersebut. Saat ditanya tentang harapannya untuk projek terbaharunya ini, beliau menyatakan bahawa beliau mahu lagu ini diterima baik oleh semua.

 

“Semoga lagu-lagu seperti “Di Pinggir Kayangan” ini akan mendapat tempat dalam kalangan para pendengar muda dan sudah tentunya pendengar yang lebih senior juga. Bila kita dapat menghayati lagu-lagu lama barulah kita dapat kemajuan mencipta lagu-lagu baharu,” bingkas Dato’ Aishah di akhir bicara.

Pihak Sony Music Malaysia juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Aishah di atas pencapaian 17x Platinum dari hasil penjualan keseluruhan kombinasi album fizikal dan digital melalui lagu-lagu beliau yang pernah bernaung dibawah Sony Music Malaysia.

Bakal dikeluarkan pada tarikh 19 Julai 2024, “Di Pinggir Kayangan” versi Dato’ Aishah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *