Konsert Hitam Manis yang dinanti-nantikan bakal menjadi pentas untuk tiga penyanyi berbakat, Dato Hattan, Hazama, dan Black, bergabung kali pertama dalam satu persembahan luar biasa. Konsert yang akan berlangsung pada 8 Februari 2025, jam 7.30 malam di Plenary Hall, KLCC ini dijangka mencipta sejarah dengan kolaborasi tiga artis lelaki solo terkenal yang berbeza gaya muzik dan genre.
Pada mulanya, penganjur Reacch Events. merancang konsert solo untuk Dato Hattan, namun penyanyi legenda ini lebih memilih untuk mengadakan persembahan bersama dua rakan artisnya, Hazama dan Black. Pemilihan nama Hazama dan Black dibuat kerana hubungan rapat yang mereka miliki, di mana Hazama merupakan juara Akademi Fantasia (AF9) dan Black pernah berkolaborasi dengan Dato Hattan dalam konsert jelajah di Sarawak.
“Konsert Hitam Manis ini dipilih kerana setiap seorang daripada kami memiliki penampilan kulit hitam manis, yang melambangkan keserasian antara kami. Saya kenal Hazama sejak dia di AF9 dan Black pula pernah bersama saya dalam konsert. Kami bertiga ada chemistry yang kuat,” kata Dato Hattan ketika sidang akhbar di Saloma Kuala Lumpur.
Tambah Dato Hattan, keunikan konsert ini terletak pada gabungan lagu-lagu hit dari tiga generasi berbeza, di mana penonton dapat menikmati lagu-lagu popular yang membangkitkan nostalgia. “Bagi saya, ini adalah kerjasama yang sangat istimewa kerana masing-masing membawa kelebihan tersendiri – saya dengan rock dan blues, Hazama dengan pop rock, dan Black dengan balada. Penonton pasti dapat menikmati pelbagai genre dalam satu konsert yang penuh warna,” ujarnya.
Konsert yang bakal disokong oleh lebih 10 pemuzik profesional di bawah pengarah muzik Genervie Kam ini juga menjanjikan kelainan. Setiap penyanyi akan mendendangkan lagu-lagu popular mereka, termasuk lagu-lagu yang belum pernah mereka nyanyikan sebelum ini. Dato Hattan, sebagai contoh, akan memberi penghormatan kepada Allahyarham Jay Jay, penyanyi kumpulan Carefree, dengan menyanyikan salah satu lagu terkenal kumpulan tersebut sebagai tribute.
Hazama, yang teruja untuk turut serta dalam konsert ini, turut berkongsi keterujaannya. “Saya tak fikir panjang apabila Dato Hattan tawarkan saya untuk konsert ini. Ia adalah peluang untuk kami bertiga berkongsi pentas yang belum pernah ada di Malaysia sebelum ini. Selain itu, kami juga akan menyertakan lagu-lagu untuk semua golongan, termasuk Gen Z, dengan Adam Eiman yang akan turut rap untuk lagu ‘Hitam Manis’,” jelas Hazama.
Black, yang kini kembali sihat selepas menjalani pembedahan, juga tidak sabar untuk menyertai Konsert Hitam Manis. “Setelah suara saya pulih, saya bersemangat untuk kembali ke pentas besar dan menyanyikan 10 lagu untuk penonton. Ini adalah peluang terbaik untuk menghiburkan semua peminat saya, baik yang lama mahupun peminat baru,” ujar Black dengan penuh semangat.
Bagi peminat yang ingin menonton Konsert Hitam Manis, tiket boleh didapati dalam beberapa kategori iaitu RM988 (VVIP), RM688 (VIP), RM588 (Diamond), RM488 (Platinum), RM388 (Gold), RM228 (Silver), dan RM198 (Bronze). Tiket boleh dibeli di laman sesawang https://ticket2u.com.my/hitammanis.
Dengan gabungan bakat, semangat, dan kelainan yang ditawarkan, Konsert Hitam Manis menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang tidak akan dilupakan. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan tiga penyanyi hebat ini di pentas megah KLCC, 8 Februari 2025.