LATEST

Duo Sumandak: Wajah Baharu Muzik Tradisional di Borneo

Marsha Milan, penyanyi yang sentiasa menyinari industri muzik tanah air, kini tampil dengan single terbaharu yang membawa warna baru dalam kerjayanya. Lintah Darat, sebuah lagu yang dicipta melalui kerjasama bersama Velvet Aduk, bukan sahaja menunjukkan kreativiti, tetapi juga membawa unsur tradisional dan moden yang membanggakan identiti masyarakat Sabah. Mengusung genre modern folk, lagu ini menggabungkan alunan instrumen dan ritma yang segar serta autentik.

Kolaborasi antara Marsha dan Velvet bermula sejak 2018 selepas mereka berdua menyertai sebuah rancangan realiti. Sepanjang perjalanan mereka, mereka telah menghasilkan beberapa lagu duet yang menggambarkan keakraban dan keserasian mereka. Setelah menghasilkan projek Sumandak Sabah, kali ini mereka kembali dengan lagu Lintah Darat, yang menandakan ‘comeback’ pertama mereka selepas beberapa tahun tidak berkerjasama.

Velvet Aduk berkongsi bahawa inspirasi untuk lagu ini muncul apabila Marsha menghampirinya dengan idea untuk mencipta sebuah lagu yang menggambarkan kehidupan masyarakat Sabah, namun dengan sentuhan moden yang boleh dinikmati oleh ramai. “Kami ingin mencipta sesuatu yang lebih santai dan menyeronokkan. Kami bersepakat untuk membawakan lagu ini dengan feel yang lebih ceria, dan setelah mendengar demo pertama Lintah Darat, saya tahu ia adalah lagu yang tepat,” kata Velvet.

Bagi Marsha, impian untuk menghasilkan album Borneo yang telah lama terpendam akhirnya dapat diteruskan dengan lagu ini. “Saya sebelum ini menghadapi kekangan dana dan sumber, namun setelah mendengar demo lagu ini, saya rasa inilah waktu yang tepat untuk melangkah ke arah yang saya impikan,” ujar Marsha dengan penuh keterujaan.

Selain daripada muzik yang segar, Lintah Darat juga membawa mesej mendalam. Lagu ini mengisahkan tentang individu yang gemar mengambil kesempatan terhadap orang yang baik hati, dengan lirik yang menyindir sifat tamak dan manipulatif, digambarkan seperti “lintah darat” yang menghisap darah orang lain. Namun, akhirnya, individu tersebut akan merosakkan diri mereka sendiri apabila tiada lagi yang boleh dieksploitasi, sepertimana yang tertulis dalam lirik, “Habis kau mengikis, badan kau sendiri.” Lagu ini membawa peringatan akan akibat buruk daripada sifat hipokrit dan ketamakan.

Lirik lagu ini memang berani dan sedikit kontroversial, tetapi tetap disampaikan dengan cara yang santai dan menghiburkan. Dengan struktur melodi yang berani dan vibe poco-poco yang menyeronokkan, Lintah Darat dijangka akan mendapat sambutan hangat, terutamanya apabila dimainkan dalam acara-acara istimewa.

Velvet Aduk memuji kerja keras Marsha dalam menjayakan projek ini. “Sejak dari awal, Marsha seorang yang sangat bersemangat dan komited. Vokalnya luar biasa, dan ketika dia membawakan lagu ini, dia memberikan feel yang sangat berbeza. Hasilnya, sangat mengagumkan,” ujar Velvet.

Mereka berharap Lintah Darat tidak hanya mendapat tempat di hati pendengar di Sabah, tetapi di seluruh Malaysia. Lagu ini juga merupakan simbol semangat kerjasama mereka yang berterusan, dan berharap dapat menghasilkan lebih banyak lagu bersama pada masa hadapan.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengarkan Lintah Darat, sebuah lagu yang akan memberikan nafas baru dalam playlist anda. Lagu ini kini boleh didengarkan di iTunes, Spotify, dan YouTube Music.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai projek-projek terbaru dari Alternate Records & Talents, layari media sosial mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).