Eksklusif OST dan Trailer Filem Thriller ‘Dajal (Satu Malam diPedajal)’ Dilancarkan

Pelancaran OST, trailer, dan video di sebalik tabir filem Dajal (Satu Malam diPedajal) berlangsung penuh meriah di GSC The Starling Mall. Acara tersebut menyaksikan kehadiran barisan pelakon, wakil media, blogger, pempengaruh, serta tetamu jemputan.

Majlis ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti eksklusif termasuk persembahan secara langsung OST filem, tayangan perdana video lirik, trailer istimewa, dan klip di sebalik tabir. Lagu Di Kala Malam, yang menjadi OST filem ini, dinyanyikan oleh Zynakal dan menandakan kolaborasi pertama antara MIG dan penyanyi tersebut.

Menurut penerbit filem, David Teo, Dajal (Satu Malam diPedajal) adalah karya thriller yang menonjolkan kehebatan Pierre Andre sebagai penulis sepenuhnya. Filem ini juga menjadi percubaan Metrowealth dalam menghasilkan naskah bergenre thriller yang berbeza daripada terbitan terdahulu.

Filem ini menampilkan barisan pelakon utama yang berbakat, termasuk Amir Nafis dan pempengaruh terkenal Bidin Al-Zaifa. Turut membintangi filem ini adalah Khatijah Tan, Jay Iswazir, Jaja Iliyes, Dai Syed, Hanna Halim, Dai Fuad, dan Arfa Danish.

Mengisahkan dua pekerja pembersihan trauma yang terperangkap dalam sebuah banglo misteri selepas secara tidak sengaja membaca buku ritual lama, filem ini menawarkan elemen seram dan kejutan. Dajal (Satu Malam diPedajal) dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 6 Februari 2025.

Dalam perkembangan lain, sebuah filem baharu terbitan Laku Pictures dan diedarkan oleh Metrowealth dijangka menemui penonton pertengahan tahun ini.