Fri. Apr 19th, 2024

Kopi Saigon memeriahkan Jiwa Kacau 2.0 sebagai penaja utama

Sensasi yang akan menjadikan hidup lebih “kucar-kacir” sedang menunggu pencinta muzik yang inginkan!

Ya, anda, para peminat kugiran Hujan, Masdo, Bunkface dan Insomniacks ucapkan selamat kembali kepada pemuzik-pemuzik handalan tanah air ini dalam siri Showcase Jiwa Kacau 2024.

Setelah berjaya mengumpulkan hampir 8,000 peminat pada Showcase Jiwa Kacau 2023, MND Sport & Event Sdn Bhd tidak mahu keterujaan peminat ‘mati’ begitu sahaja. Kali ini Jiwa Kacau berkolaborasi bersama Kopi Saigon sebagai penaja utama.

Justeru dengan berbesar hati selaku penganjur MND Sport & Event Sdn Bhd membawa kembali barisan kugiran sama iaitu Hujan, Masdo, Bunkface dan Insomniacks yang telah mencetuskan fenomena dalam Showcase Jiwa Kacau 2023 pada Showcase Jiwa Kacau 2024.

Dijadual berlangsung pada 22 Jun 2024 di Stadium Hoki Bukit Jalil, Showcase Jiwa Kacau 2024 dihangatkan dan bakal meninggalkan momen tersendiri apabila turut disertai oleh sebuah kugiran dari Indonesia iaitu Nidji selain penampilan khas daripada solois tempatan, Luqman Podolski.

“Sesuai dengan penganjuran kali kedua, Showcase Jiwa Kacau 2024 akan memperlihatkan pertambahan dua lagi pemuzik yang akan menghangatkan malam pesta ini.

“Ini bermaksud akan ada enam penampilan penuh energatik yang akan menghiburkan pengunjung pada malam Showcase Jiwa Kacau 2024 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 Jun 2024.

“Kami dengan bangga mengumumkan kehadiran Nidji untuk menjadi satu-satunya kugiran terkenal Indonesia yang akan membuat Showcase Jiwa Kacau 2024 lebih ‘kacau bilau’.

“Dan untuk pertama kali juga di Showcase Jiwa Kacau 2024 kami menampilkan solois iaitu Luqman Podolski sebagai penampilan khas.

“Harapan kami Showcase Jiwa Kacau 2024 bukan hanya menjadi tempat bersuka ria atau pesta semata-mata tetapi penganjuran ini bakal menjadi medan berkembang, semarak sekali gus melestarikan muzik tempatan terutama buat generasi kini dan akan datang,” ujar Daniel Harith dari MND Sport & Event Sdn Bhd.

Mewakili rakan seperjuangan yang terlibat dalam Showcase Jiwa Kacau 2024, Masdo menyifatkan penganjuran kali kedua acara muzik ini didorong banyak oleh sambutan dan apresiasi peminat terhadap pemuzik tanah air.

“Tanpa sokongan dan kehadiran peminat yang di luar jangka pada penganjuran Showcase Jiwa Kacau 2023, kami fikir tidak mungkin ada Showcase Jiwa Kacau 2024.

“Jadi sebenarnya kami patut mengucapkan terima kasih buat peminat yang berkumpul dan meraikan perbezaan muzik yang ditonjolkan oleh setiap kugiran,” ujar Masdo.

Showcase Jiwa Kacau 2024 dijadual berlangsung selama tiga jam setengah dengan pembelian tiket boleh dilakukan menerusi www.klticketing.com.

Jangan sampai terlepas tawaran harga tiket yang menarik untuk menyaksikan enam persembahan yang bakal membuat jiwa anda kacau teruk!

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *