Ernie Zakri, penyanyi bersuara lunak dan berbakat besar, terus mencipta pencapaian gemilang dalam kerjaya muziknya dengan pelancaran semula lagu hit Masing Masing dalam versi piano yang lebih intim dan penuh emosi.
Lagu yang pada asalnya menampilkan kolaborasi Ernie bersama Ade Govinda itu kini diberi nafas baru, mempersembahkan sisi yang lebih lembut dan menyentuh hati.
Dalam versi piano ini, Masing Masing menampilkan kerjasama antara Ade Govinda dan Nabila V sebagai penulis, dengan Ade sebagai komposer, manakala William Chow bertindak sebagai penerbit. Susunan muzik minimalis, yang hanya diiringi piano, memberikan ruang untuk kelunakan vokal Ernie Zakri benar-benar menyerlah. Setiap bait lirik disampaikan dengan penghayatan mendalam, memancarkan emosi yang tulus dan menjadikan pengalaman mendengar lebih intim.
Menurut Ernie, Masing Masing versi piano ini adalah hadiah istimewa untuk peminat yang menghargai keindahan lirik dan melodi dalam kesederhanaan. “Saya mahu menonjolkan rasa asli dan kejujuran lagu ini, tanpa sebarang elemen muzik yang mengganggu. Mempersembahkannya dalam versi piano memberikan peluang kepada pendengar untuk merasai emosi lagu ini dengan lebih mendalam. Saya percaya bahawa keindahan sesebuah lagu datang daripada kesederhanaan yang membolehkan lirik dan melodi berbicara dengan sendiri,” kata Ernie.
Beliau juga menambah bahawa dalam setiap nota piano yang dimainkan, ada kenangan dan perasaan yang terukir. “Pendekatan minimalis ini diharap dapat membawa pendengar merasai inti pati emosi dalam lagu ini – suatu perjalanan perasaan yang penuh tulus dan menyentuh hati,” katanya.
Sebelum ini, Masing Masing telah dirakam dalam versi tradisional, dan telah mendapat sambutan positif daripada peminat muzik. Lagu tersebut, yang menjadi single pertama daripada album Aura yang dilancarkan pada November tahun lalu, berjaya mencetuskan fenomena bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia. Versi asalnya menampilkan susunan muzik yang penuh tenaga, manakala versi piano ini memberi tumpuan kepada kehalusan vokal dan emosi yang mendalam.
Lagu Masing Masing turut meraih pengiktirafan besar apabila ia memenangi kategori Lagu Paling Boom Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH36) baru-baru ini. “Saya sangat gembira dan bersyukur. Saya bersama peminat setia saya, Ernienators, mempunyai hubungan yang sangat akrab, dan kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan mereka. Mereka telah berusaha keras mengundi, dan saya sangat berterima kasih kepada semua yang menjadikan lagu ini sebahagian daripada hidup mereka,” ujar Ernie.
Lagu Masing Masing juga telah menembusi pasaran Indonesia, sesuatu yang sangat diidamkan oleh Ernie Zakri. “Saya tidak pernah terfikir untuk menembusi pasaran Indonesia dan duduk di carta-carta di sana, tapi ia memang satu impian saya. Tahun ini, saya sangat bersyukur kerana lagu ini telah mendapat sambutan yang luar biasa. Peminat di Indonesia juga telah membantu lagu ini berada di kedudukan carta yang hebat, dan saya akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam kerjaya saya,” katanya.
Ernie Zakri juga mencipta sejarah sebagai artis Malaysia yang dipaparkan dalam senarai EQUAL Spotify dan telah muncul di carta Billboard di Times Square, New York, sebanyak dua kali. “Dipaparkan di Billboard Times Square adalah impian bagi ramai artis, dan ini adalah satu pencapaian besar dalam kerjaya saya. Ini adalah motivasi untuk saya terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik kepada peminat,” kata Ernie.
Lagu Masing Masing juga telah mencapai beberapa kejayaan besar di platform Spotify, antaranya:
- Dimuatkan dalam playlist ‘Lagi Viral’
- Dimuatkan dalam playlist ‘Equal Singapore & Malaysia’
- Top Songs – Indonesia
- Top 50 – Indonesia
- Top 50 Malaysia
- Viral 50 – Indonesia
- Kedudukan ke-8 di Top Songs Indonesia
- Viral Songs Global #80
- Kedudukan dalam pelbagai carta di Indonesia seperti Medan, Jakarta, Makassar, Bandung, Semarang, dan Surabaya.
Selain itu, Ernie kini memegang rekod sebagai artis wanita Malaysia yang mempunyai bilangan Spotify Monthly Listeners tertinggi, dengan seramai 3.1 juta pendengar. Lagu Masing Masing juga berjaya berada di kedudukan tertinggi dalam Carta RIM Malaysia selama 23 minggu berturut-turut, menjadikannya artis wanita paling lama berada di kedudukan No.1 di carta tersebut.
Ernie Zakri bukan sahaja terus menyinari industri muzik tempatan, tetapi juga semakin meluaskan pengaruhnya di peringkat serantau dan antarabangsa. Versi piano Masing Masing adalah bukti komitmen beliau terhadap karya seni yang asli dan penuh jiwa, memberikan pengalaman mendengar yang berbeza dan lebih mendalam kepada peminatnya.