Cikgu Diva, drama terbaru dari TV3, kini menemui penonton di slot Lestary mulai hari ini, 31 Januari 2025, setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 9.00 malam. Berlatarkan suasana sekolah yang ceria dan penuh dengan ragam kehidupan pelajar, drama ini menyuntik elemen komedi, persaingan, dan nilai kekeluargaan yang pasti menghiburkan seisi keluarga.
Dengan pengarah Kyoll Hamzah di sebalik layar, Cikgu Diva mengetengahkan barisan pelakon muda berbakat seperti Eyka Farhana, Fitri Farok, Syad Mutalib, Kana Fly, Duerra Mitilda, Syed Irfan, Danish Hazriq, dan ramai lagi. Drama ini, dengan 8 episod yang sarat dengan gelak tawa dan kisah penuh warna, membawa penonton menyelami dunia guru dan pelajar yang berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan.
Eyka Farhana memegang peranan utama sebagai Cikgu Ros, seorang guru Bahasa Melayu yang memikat hati dengan kecantikan dan pesonanya. Tidak pernah terlibat dalam dunia sukan, Cikgu Ros menghadapi tugas besar apabila dilantik sebagai guru penasihat rumah sukan biru yang sering tercorot dalam Hari Sukan Sekolah. Bukan hanya cabaran dalam bidang sukan yang perlu dihadapinya, tetapi juga ketegangan dalam menjaga kelas Tingkatan Dua Baiduri.
Namun, jalan Cikgu Ros tidak mudah. Untuk memastikan kejayaan rumah sukan biru, beliau perlu mendapat sokongan daripada pelajarnya, termasuk Amir, Haikal, dan Hani. Walau bagaimanapun, Haikal menolak untuk membantu, disebabkan masalah keluarga yang sedang dihadapinya
Di samping cabaran membimbing rumah sukan, Cikgu Ros juga terjebak dalam perasaan cinta yang berputar antara dirinya, Cikgu Adam (Fitri Farok), Cikgu Sofea (Syad Mutalib), dan Cikgu Kana (Kana Fly). Hubungan rapat antara Cikgu Ros dan Cikgu Adam menimbulkan rasa cemburu di kalangan rakan-rakan sejawatan, terutamanya Cikgu Sofea yang berusaha merosakkan reputasi Cikgu Ros dengan merancang muslihat licik.
Apakah Cikgu Ros mampu mengesan rancangan Cikgu Sofea? Dapatkah dia meraih sokongan yang cukup untuk membawa rumah sukan biru meraih kemenangan yang diidamkan?

Drama Cikgu Diva turut menampilkan penampilan pertama Kana Fly dalam dunia lakonan drama. Sebagai pempengaruh media sosial yang terkenal dengan kandungan jenaka dan gaya santainya, Kana Fly sangat teruja dengan peluang yang diberikan. “Ini adalah pengalaman pertama saya dalam dunia lakonan, dan ia benar-benar memberi saya pengalaman yang sangat berharga. Saya sangat berterima kasih dapat bekerjasama dengan pelakon-pelakon hebat yang sangat rendah hati. Saya harap penonton akan jatuh cinta dengan watak saya dan juga karakter-karakter lain dalam drama ini, kerana cerita ini sangat dekat dengan kehidupan dan mampu mengimbau kenangan zaman sekolah,” kata Kana Fly.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Cikgu Diva setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam di slot Lestary TV3. Anda juga boleh menonton episod pertama lebih awal, 24 jam sebelum siaran di TV, dengan melayari Tonton di www.tonton.com.my atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store.
Untuk perkembangan terkini mengenai drama dan hiburan lain, ikuti TV3 di laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram di @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.